wings-sbh-1Kumpulan Wings masih berbisa bila siri konsert mereka masih mendapat sambutan menggalakkan. Mereka akan menggegarkan Stadiim Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember ini dalam siri Konsert Wings 30 Tahun Live.

Kejayaan Sambutan Ulangtahun WINGS ke 30 dan kedua-dua edisi Konsert WINGS 30 Tahun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2015 dan di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 25 Disember 2015 telah membuktikan bahawa jenama WINGS mampu pergi lebih jauh dan persembahan ‘live’ mereka sentiasa dinanti-nantikan oleh para peminat muzik rock.

wings-sbh-2Kali ini, WINGS mengorak langkah ke Borneo pula dengan ‘tagline’ #getreadyborneosabahtatap.

Jenama WINGS adalah tidak asing kepada para peminat muzik rock di Sabah dan adalah salah satu kumpulan rock tempatan yang paling popular di Sabah. Malah WINGS telah beberapa kali mengadakan konsert di Sabah dengan sambutan yang hangat.

Kali ini WINGS akan kembali ke Sabah dengan Konsert WINGS 30 Tahun di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu, 24 Disember 2016. Konsert anjuran Anggerik Event Sdn Bhd ini mendapat sokongan sepenuhnya dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Konsert ini akan mengekalkan konsep ‘Back To 80’s’ iaitu mengembalikan kegemilangan dan nostalgia era rock tahun 1980an. Keseluruhan persembahan akan membangkitkan nostalgia dan meninggalkan kenangan manis kepada para penonton serta menjadikan Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK sebagai suatu malam yang tidak dapat dilupakan oleh para peminat WINGS khasnya dan para peminat muzik rock di Sabah amnya.wings-sbh-3

Rangka promosi dan penjualan tiket Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK bermula selepas sidang media baru-baru ini. Ia akan dipanaskan lagi dengan sidang media ke 2 di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 November 2016 dan pelancaran ‘road tour’ bersama WINGS di Sabah.

Sepertimana ‘tagline’ #GetReady dan #GetReadyJB, ‘tagline’ #getreadyborneosabahtatap ini juga menandakan konsert ini didedikasikan khas untuk para peminat di seluruh negeri Sabah. Ungkapan ini akan digunakan secara meluas di media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai strategi pemasaran konsert mahupun mempromosi negeri Sabah.

Sebagai sebuah program yang mendapat sokongan penuh dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah, WINGS juga mendapat perhatian dari Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sabah. WINGS diberi penghormatan untuk menjadikan athlit paralimpik Sabah iaitu Felicia Mikat sebagai Ikon Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK.

Felicia Mikat adalah anak jati Negeri Sabah yang berasal dari Kampung Kipaku, Tambunan, Sabah. Gadis berusia 17 tahun ini telah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi 3 pingat emas untuk acara olahraga 100m, 200m dan 400m dalam Sukan Para Asean ke 8 di Singapura pada Disember 2015 bagi kategori T13 (orang kelainan upaya penglihatan).

Kini Felicia Mikat adalah aset berharga kepada Malaysia untuk meninjau peluang pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, setelah apa yang berjaya dilakukan oleh Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Muhd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly di Sukan Paralimpik Rio 2016 baru-baru ini.

WINGS merasakan kisah kejayaan sebegini adalah seumpama perjuangan WINGS sendiri dalam mengharungi cabaran sebagai artis rock. Berkat sokongan dari ibubapa, keluarga, rakan-rakan dan para peminat, WINGS berjaya kekal utuh selama lebih 30 tahun. Malah WINGS ingin terbang lebih jauh lagi selepas 30 tahun di persada muzik rock Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.wings-sbh-4

Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016. Acara akan bermula pada sebelah petang dengan persembahan 10 buah kumpulan dari seluruh negeri Sabah iaitu :

  • Anugerah
  • Chromatic
  • Roktrus
  • Brother Rock
  • D Shelter
  • GAPESA
  • Tony DAT-U
  • EVO X
  • LINS1
  • MetalZone

Mereka akan mempersembahkan lagu lagu WINGS sebagai ‘tribute’ kepada WINGS dengan cara mereka yang tersendiri. Pada sebelah malam, pentas akan dipanaskan oleh artis-artis jemputan popular dari Sabah iaitu kumpulan ZERO dan Yazer serta dikuatkan lagi dengan Akim dan Aweera.

Kumpulan WINGS iaitu penyanyi utama Awie (Ahmad Azhar bin Othman), pemain gitar Joe (Abdul Zamin bin Abdul Kadir), pemain ‘drums’ Black (Azmi bin Hashim) dan pemain bass Eddie (Samsaidi bin Ulong Idris) dijangka akan menguasai pentas pada jam 9.00 malam dengan rangkaian lagu lagu baru dan lama selama 120 minit. Persembahan WINGS juga akan diwarnai dengan jemputan X-WINGS iaitu Jojet bekas pemain drums WINGS, Sham bekas gitaris WINGS dan Mel bekas vokalis WINGS.

Tiket-tiket berharga :

RM50.00  Sayap Sayap

RM   250.00 Sayap Sayap Gold (Early Bird)

RM 1000.00   Sayap Sayap Platinum

Pemegang tiket Sayap Sayap Gold (Early Bird) akan berpeluang menghadiri Sidang Media ke 2 Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK di Kota Kinabalu, Sabah. Lokasi majlis akan diberitahu kelak.

Pemegang tiket VIP Sayap Sayap Platinum pula akan ditempatkan di tempat duduk ‘grandstand’ dan berpeluang menghadiri majlis ‘post-party’ bersama kumpulan WINGS selepas tamat Konsert WINGS 30 Tahun ‘Live’ @ KK. Lokasi majlis akan diberitahu kelak.