Wartawan dan jurugambar Kumpulan Utusan terpaksa meminjam wang ahlong dan bergadai untuk meneruskan hidup apabila majikan tidak membayar gaji sejak dua bulan lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam undangan media ke sidang akhbar yang diatur oleh Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ) yang akan diadakan esok.

“NUJ Malaysia adalah dengan ini menjemput wakil-wakil media untuk membuat liputan sidang akhbar berhubung nasib ahli kami pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo milik UMNO yang masih tidak dibayar gaji sehingga ke hari ini.

“Ahli kami khususnya di Utusan kini bukan sahaja terpaksa mengikat perut sejak beberapa bulan lalu malah terpaksa meminjam Ah Long dan menggadaikan barang kemas untuk memberi makan anak-anak dan meneruskan kehidupan.

“Ini belum lagi ahli kami yang diburu bank-bank kerana gagal membayar balik pinjaman mengikut masa yang ditetapkan,” kata NUJ dalam jemputan media.

Sidang akhbar akan diadakan di pejabat NUJ Malaysia, Jalan Padang Belia, Brickfield, Kuala Lumpur pada pukul 4.00 petang.

Untuk rekod Kumpulan Utusan belum melunaskan bayaran keseluruhan untuk bulan Jun serta belum membayar langsung gaji bulan Julai.

Nasib bekas kakitangan yang ditawarkan skim pemisahan sukareka pun menerima nasib sama apabila belum menerima ansuran pampasan Jun (hanya terima pendahuan RM2, 000) dan Julai.

Manakala pampasan Ogos yang dijadualkan 25 Ogos pun nampak sangat samar melihatkan suasana semasa berkait janji pampasan bulan-bulan terdahulu yang tak tertunaikan.