Ketulusan memberikan nasihat percuma dalam apa sahaja bidang yang diketahuinya, menjadikan pemilik akaun facebook Haz Halid memiliki ramai pengikut. Ditambah dengan personalitinya yang menarik.

Lelaki kelahiran Petaling Jaya yang kini bekerja di Vienna, Austria bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu juga sering memberikan panduan pelancongan sekitar Eropah serta perkara berkaitan Teknologi Maklumat.

Antara akaun Facebook scammer yang mencuri foto peribadi Hazman.
Antara posting Hazman mengingatkan wanita agar tidak mudah terpedaya.

Dalam memiliki ramai pengikut itu, pastinya ada juga haters. Ia sudah lazim dalam dunia maya yang menghubungkan semua orang tanpa dikenali secara peribadi.

Kebencian terbaharu terhadap pemilik nama Hazman Halid ini ialah apabila wajahnya menjadi pilihan scammer Nigeria untuk menabur kata-kata manis mengurat wanita sepi Malaysia seterusnya menjadikan mereka mangsa kerugian wang.

Wanita yang percaya kepada kata-kata scammers itu juga sewenang menuduh Hazmanlah yang menipu mereka.

Patutlah wanita itu mudah terpedaya dengan kata-kata scammer, rupa-rupanya mereka tidak bijak menggunakan teknologi yang semakin berkembang. Dipercayainya bulat-bulat hanya kerana melihat gambar profile yang sama dengan akaun sebenar milik Hazman.

Kabijaksanaan Hazman  dalam dunia IT membuatkan dia tidak mudah melatah. Dia sebaliknya mengambil peluang itu untuk berkongsi dengan pengguna untuk berhati-hati agar tidak tertipu. Banyak tip yang diberikannya berkaitan isu penipuan scammer Nigeria. Selain melalui tulisan, ada juga pesanan melalui video yang dikongsinya.

Dia akui tidak terkesan apabila fotonya menjadi pilihan dan dirinya menjadi medan untuk mangsa marah-marah kerana percaya dia dan scammer tersebut sebagai orang yang sama. Hazman hanya terkesan kerana kasihankan mangsa yang mudah tertipu.

“Kenapa orang selalu terkena dengan penipuan scammer di facebook? Kerana mereka pandai memanipulasikan sifat tamak pada manusia serta mengaburi judgment mangsa walaupun tanda-tanda mereka sedang ditipu itu sudah jelas,” tulis Hazman dalam salah satu postingnya.

Melalui pengalamannya menerima mesej daripada wanita yang jadi mangsa penipuan yang menggunakan fotonya, Hazman terkejut apabila mendapati mereka bukannnya datang daripada orang yang tidak berpelajaran, malah ada yang berkedudukan tinggi dalam sesebuah organisasi.

“Walaupun seribu orang buat fake akaun menggunakan gambar saya, tidak ada orang yang  akan dapat menipu anda sekiranya anda tidak ada sifat ini (tamak) untuk mendapatkan benda-benda percuma. Usahalah untuk mendapatkan benda ini sendiri… bukan mengharapkan orang lain beri, kalau anda tak mampu, berusahalah mencari suami yang kaya untuk mendapatkannya untuk anda,” katanya dalam satu perkongsian video.

Ini salah satu kisah mangsa yang dikongsikan Hazman dalam laman Facebooknya baru-baru ini;

Komen Hazman: “Sebenarnya, yang memadam mesej itu semua ialah Facebook. Bila akaun scammer kena report, FB delete akaun itu dengan semua mesej sekali. Kalau nak simpan bukti, lain kali gunakan Whatsapp.

 

“Cerita sebenar di sebalik mangsa penipuan

Pada waktu ini, mangsa penipuan Nigeria ini sedang aktif memberitahu rakan-rakannya tentang liciknya saya meminta wang darinya. Untuk memberikan jawapan yang pendek, saya tidak pernah dan tidak perlu minta wang, secara langsung atau tidak.

“Mangsa ini menyatakan yang dia belajar “penyiasatan” selama tujuh  tahun. Kurang pasti di universiti mana. Tujuh  tahun tu dah siap Masters.

Hazman kerap memberi hadiah kepada pengikut Facebook.

“Tetapi apa yang lebih menarik di sini ialah cerita tentang tuan empunya diri sendiri, oleh orang yang biasa melihatnya di kedai. Orang ini memang mengenalinya sebab dia tahu jenama keretanya. Mungkin salah seorang customer.

“Untuk menjaga identiti orang itu, saya hanya tunjukkan separuh mesej saja. Sekali lagi saya ingin menegaskan. Masalah dengan scammers tidak akan timbul tanpa rasa tamak dari mangsa. Kadangkala ia ialah karma. Kalau kita biasa menipu duit orang atau bermain kayu tiga, mungkin karma ini datang balik kepada kita,” tulisnya.

Salah satu posting Hazman.

Ini satu lagi mangsa yang berkomunikasi dengan Hazman berkaitan dirinya yang menjadi mangsa scammer;

“Reena Kong, seorang profesional yang berkarier, telah menjadi mangsa scam Nigeria. Respond ini dibuat kerana masih terdapat komen-komen  darinya walaupun sudah dikira tutup kes.

“Beberapa hari lalu, Cik Kong menerjah inbox dan demand penjelasan kenapa ramai orang gunakan gambar saya. Intonasi dari awal sampai habis, dia seolah-olah mahu saya mengaku bahawa saya ialah orang yang menipunya. Sama macam mangsa lain.

Bergaya…

“Jawapan saya: Kerana ramai perempuan yang sanggup melayan mereka dan memberi wang. Bukan gambar saya saja yang digunakan, ramai lagi lelaki lain yang sukses. Ini adalah kenyataan.

“Saya tanya kembali, awak rugi banyak mana? Report ke polis. Dia cakap, tidak rugi duit sebab dia bekerja dengan sebuah badan kewangan.

“Tetapi beliau masih kelihatan tidak puas hati dan masih terbawa-bawa sehingga hari ini. Katanya saya patut malu untuk bekerja dengan UN.

“Malu? Kerana apa?

“Kalau kebanyakan kes lalu merupakan wanita yang agak kampung dan tidak berpelajaran, ini berlainan. Orang seperti beliau sepatutnya mempunyai fikiran yang analitikal. Namun masih dapat ditumbangkan.

“Apa yang dikatakan oleh perempuan ini betul; saya tidak seperti lelaki Nigeria yang bercinta dengannya itu; sopan, manis dan sebagainya. Jawapan saya juga betul; saya memang tidak manis kerana saya tidak ada udang di sebalik batu. Itu ialah kenyataan.”

Mengapa wajah Hazman antara yang menjadi pilihan scammers untuk memperdayakan wanita? Tiada jawapan tepat untuk itu, namun semestinyalah scammers akan memilih wajah lelaki yang mudah membuatkan wanita cair dan nampak baik.

Kebetulan Hazman juga kelihatan pemurah apabila kerap memberikan hadiah kecil-kecilan kepada pengikutnya apabila dia melancong. Apabila hadiah itu sampai ke tangan penerima, mereka akan memuatnaik foto dengan hashtag kepada Facebook Hazman.

Mungkin juga scammers melihat kemurahan hati Hazman memberikan hadiah itu sebagai salah satu selling point untuk menarik perhatian. Apabila seseoang yang kelihatan bermurah hati mengatakan mahu menolong, maka mangsa akan mudah percaya.

Jadi kepada wanita-wanita di luar sana, janganlah mudah terpedaya dengan kata-kata manis sesiapa sahaja. Siapa yang sangat bermurah hati nak berikan hadiah bernilai besar kepada orang yang tidak dikenali? Hanya penipu sahaja yang sanggup menawarkannya kepada anda. Awas ya, jangan jadi mangsa penipuan scammers Nigeria!