Sekali lagi kisah Skim Pemisahan Sukareka (VSS) Kumpulan Utusan, syarikat yang saham utamanya milik parti tewas UMNO jadi viral.

Semasa mengumumkan tawaran skim tersebut, syarikat melalui Pengerusi Eksekutif, Datuk Aziz Sheikh Fadzir menjanjikan bayaran pampasan pertama akan dibuat pada 25 Disember dan diikuti setiap 25 haribulan selama 12 kali.

Inilah memorandum pahit pesara awal Utusan

Hari ini, dalam satu mesyuarat khas bersama wakil bekas petugas iaitu AJK Pemegang Amanah VSS yang mengambil VSS, lain pula ceritanya.

Mesyuarat dimaklumkan oleh Pengurus Sumber Manusia, Nazlan Osman bahawa syarikat tidak dapat membuat pembayaran pertama pada tarikh yang dijanjikan.

Jelasnya, syarikat sedang berusaha untuk membuat bayaran berkenaan dengan kadar segera.

Sebahagian bekas staf UKSB yang mengambil VSS

Nazlan bagaimanapun gagal memberitahu mesyuarat bila tarikh sebenar bayaran akan dibuat.

Sehubungan itu wakil-wakil pengambil VSS membuat gesaan tegas agar pihak syarikat mencari jalan untuk menyelesaikan pekara di atas namun pihak syarikat bagaimanapun gagal memberikan jawapan yang pasti.

Ekoran itu bekas kakitangan Utusan meluahkan rasa terkilan dan kecewa menerusi grup WhatApps serta memuatnaik dalam laman Facebook peribadi masing-masing.

Semestinya lebih 700 kakitangan yang berkorban demi kelangsungan syarikat itu kecewa apabila janji tidak ditunaikan.

Sementelah pada hujung tahun ini pelbagai keperluan keluarga serta permulaan sekolah tahun baharu 2019 bakal bermula.

Ramai juga yang sudah mengagak perkara ini bakal terjadi. Lebih mendebarkan apabila Aziz sendiri letak jawatan pada 13 Disember lalu.

Hari ini kebimbangan pasal perletakan jawatan Aziz dan kelewatan pembayaran pampasan benar-benar terjadi.

“Kena kencing juga akhirnya,” kata seorang bekas kakitangan dalam mesej melalui grup WhatApps.

Apakah nasib yang bakal menimpa pengambil VSS? Kalau pampasan pertama pun tak dapat lunas pada tarikh yang dijanjijan, bagaimana pula bulan bulan mendatang?

Itulah antara luahan bekas kakitangan Utusan. Ada yang meminta agar bersabar. Sampai bila?

Namun mampukah pihak bank bersabar menanti bayaran pinjaman perumahan, kereta, kad kredit dan pelbagai komitmen bulanan lain?

Pasti kegusaran akan bertambah bila wakil bank asyik hubungi bertanyakan bila mahu lunas hutang.