Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir akan mengadakan Konsert Duo di Istana Budaya pada 20 hingga 23 Disember ini.

Kini kedua-dua legenda itu sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dengan lagu-lagu malar segar masing-masing.

Mereka sudah memulakan latihan bersama isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang turut muncul bermain violin.

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan dengan 80 peratus tiket sudah terjual,” kata Jamal selaku penganjur menerusj syarikatnya BinJamal Event.

Jamal yakin konsert tersebut menarik minat penonton kerana kelainan yang ditampilkan kali ini.

“Inilah kali pertama saya mengadakan konsert bersama guru saya, M. Nasir. Kalau anda masih ingat, lagu Senandung Semalam yang saya nyanyikan semasa menang Bintang RTM (1979) adalah hasil lirik M. Nasir.

“Untuk segmen bersama, kami akan imbau nostalgia lalu untuk dikongsi dengan penonton. Banyak cerita di sebalik tabir yang kami akan kongsi,” kata Jamal.

Sementara itu persembahan pada 22 Disember ialah malam khas atau Malam VVIP dengan kemunculan Siti Hasmah.

Dana daripada kutipan tiketnya untuk disalur kepada pihak yang kurang kemampuan seperti rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang tua.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Penghujung Rindu, Takdir Penentu Segala, Deru, Mana Teman Seperjuangan, Kau Lupa Janji, Hati Emas, Gerhana, Mustika, Perjuangan, Ghazal Untuk Rabiah, Malam, Kiambang dan beberapa lagi.

Jamal juga mengundang penyanyi Australia yang fasih nyanyi lagu Melayu, Cassidy Anderson kerana tertarik dengan gayanya menyanyikan lagu-lagunya dalan laman sosial.

Tiket berharga RM1, 000 hingga RM158 boleh dibeli di laman www.ilassotickets.com atau hubungi talian 03-21706333.