Diinspirasikan daripada originaliti tahun-tahun formatif lanskap muzik kontemporari Malaysia, penyanyi Ushera menghasilkan album  Semalam di Malaya.  Album itu mencerminkan kebanggaan Ushera terhadap warisan peninggalan negara.

Album ini memberi penghormatan kepada muzik kontemporari Malaysia sekitar tahun-tahun pra-kemerdekaan iaitu pada 1940-an dan 1950-an di mana negara ini masih lagi dikenali sebagai Malaya. Album itu dilancarkan di The Social, TREC, Kuala Lumpur baru-baru ini.ushera-2

Penyumbang utama di dalam album ini ialah Ganesh Bala, iaitu pemain piano Ushera sepanjang lima tahun pembabitannya di dalam bidang muzik. Ganesh turut merangkap komposer, penyusun lagu dan produser; dan mereka berdua telah mengambil masa tujuh bulan untuk menyiapkan album ini iaitu keluaran pertama di dalam koleksi Semalam di Malaya.

Bersama-sama mereka telah mengetengahkan semula bintang-bintang legenda seperti Ahmad Jaafar dan Osman Ahmad yang bertanggungjawab menulis lagu-lagu dan karya-karya indah buat vokalis-vokalis tersohor termasuklah Nona Asiah dan Kamsani.ushera-3

Album ini mengandungi sebelas lagu-lagu klasik di dalam irama orkestra, Latin, muzikal dan Jazz. Di antaranya adalah Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, lagu rancak Polynesia Mambo dan lagu yang sedikit nakal iaitu Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan di dalam gaya asal.

Semalam di Malaya berusaha untuk mengekalkan keaslian bunyian audio klasik dari era masa lalu tanpa mengubah melodi dan keharmonian irama susunan muzikal yang original. Namun, Ushera dan Ganesh telah membuat perubahan dari segi dinamik dan sentuhan teknologi moden agar produk akhir dapat memberikan pengalaman sinematik dalam spektrum yang holistik bagaikan menonton sebuah pertunjukan di dalam dewan konsert.ushera-4

“Saya amat berhati-hati untuk tidak mengubah terlalu banyak versi asal lagu-lagu yang dirakamkan kerana komposisi karya-karya tersebut sudahpun begitu indah. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ganesh kerana amat memahami visi saya dan telah menyusun lagu-lagu ini dengan amat minimal sekali tetapi ianya amat penting untuk memberikan nafas baru kepada karya-karya agung ini,” kata Ushera.

Melalui Semalam di Malaya, Ushera bukan sahaja ingin mengimbau semula memori nostalgia di kalangan generasi lama, tetapi juga mengambil kesempatan ke atas perhatian yang semakin banyak diberikan oleh generasi baru kepada warisan artistik dan budaya negara dan membawa mereka kembali ke zaman kegemilangan muzik Malaysia.

“Melalui projek ini, saya telah banyak belajar tentang sejarah Tanah Melayu dan faktor-faktor yang menjadikannya begitu istimewa seperti pertembungan budaya daripada beratus-ratus tahun dahulu yang menjadi acuan muzik Malaya.

“Saya mengkaji tentang wanita di zaman itu serta perilaku mereka dan cuba untuk membawa ciri-ciri ini di dalam persembahan saya. Yang lebih penting, saya juga belajar untuk menyanyi dengan lebih baik. Lagu-lagu klasik Melayu bila didengar bagaikan mudah untuk dinyanyikan tetapi ianya tidak seperti yang disangkakan.

“Melodi yang dipanggil ‘air lagu’ kadang-kala berpusing-pusing serta amat mencabar. Begitu banyak lagi yang perlu saya pelajari kerana melalui projek ini juga, saya telah bertemu dengan begitu ramai individu yang tidak lokek memberikan saya nasihat dan panduan. Terima kasih saya ucapkan,” tambah Ushera lagi.

Pada bulan Disember ini, album ini akan dilancarkan di Brunei Darussalam. Dengan siri jelajah yang telahpun dirancang tahun depan di mana Ushera akan membuat persembahan di beberapa festival muzik seluruh dunia, tanpa ragu-ragu lagi Semalam di Malaya pasti akan menambat hati peminat muzik antarabangsa. Semalam di Malaya kini boleh didapati iTunes , Spotify dan saluran streaming music utama.