Pelakon Ummi Nazeera, 27, mengesahkan selamat bernikah dengan lelaki pilihan keluarganya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani, 30, dalam sebuah majlis tertutup pada 23 Julai lalu.

Ia dilakukan lebih awal daripada tarikh asal pernikahan itu yang sepatutnya berlangsung di sini hari ini demi memenuhi permintaan keluarga.

Menurut Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainulabadin, dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis itu bagi menghormati permintaan keluarga.
“Saya mengaku sudah bergelar isteri Izzar sejak 23 Julai lalu kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahan ini diadakan lebih awal daripada tarikh dirancang,” katanya sebagaimana kenyataan akhbar yang dikeluarkan.
Menyarung persalinan rekaan Innaired, Ummi malam ini mengadakan majlis meraikan dirinya selamat bernikah dengan dihadiri seramai 200 keluarga terdekat termasuk tetamu kenamaan, Yang Amat Mulia Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah serta isteri, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail di Hotel Le Meridien, Putrajaya hari ini.
Ummi sah diijabkabulkan bersama Izzar yang merupakan seorang doktor berasal dari Kuala Lumpur dengan sekali lafaz pada jam 10.45 pagi di kediaman adik kepada bapa Ummi, Yang Berbahagia Dato’ Aziz Mat Akhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Khutbah nikah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Wilayah, Dato’ Rashidy Jamil Al-Rashid.
Jumlah mas kahwin dirahsiakan.
Hanya 20 tetamu diundang pada majlis pernikahan mereka.
Turut hadir menyaksikan akad nikah itu ialah bonda Sultan Terengganu, Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof, isteri Aziz, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah, ibu serta abang Ummi, Dato’ Sri Maziah Musa dan Dato’ Ahmad Nazreem Azrul Hidayat, bapa serta ibu bapa Izzar, Datuk Sri Abdul Khani Daud dan Datin Sri Nurah Abdul Rahman.
Ummi menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Bercakap mengenai perubahan dirinya selepas bergelar isteri, Ummi memberitahu, dia kini berasa lebih gembira dan tenang selepas memasuki 11 hari mendirikan rumah tangga.
“Saya kena lebih berhati-hati dalam setiap perkara kerana sekarang hidup berdua bersama suami. Kalau hendak merajuk atau marah, kena berfikir banyak kali disebabkan takut rasa berdosa dengan suami.
“Cuma agak sedih apabila kami terpaksa berpisah selepas setengah hari bernikah kerana Izzar masih lagi bertugas di Sarawak. Yang pasti, saya perasan bahawa suami menjadi lebih romantik selepas berkahwin,” jelas Ummi yang bakal meneruskan karier seni seperti biasa selepas ini.
Kedua mempelai itu merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland tidak lama lagi.
Resepsi persandingan pasangan itu akan diadakan di Hotel Shangri-La pada Sabtu ini dan diikuti di Dewan Bankuet Menara Felda, Persiaran KLCC di sini 12 Ogos ini.
Mereka mengikat tali pertunangan pada 12 November tahun lalu apabila memasuki usia tiga bulan berkenalan selepas diperkenalkan oleh ibu Izzar pada 29 Januari 2016.
Sementara itu, Ummi bakal muncul dengan filem televisyen terbaharunya, Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia tidak lama lagi, selain melancarkan produk kosmetik, Nazeera Village (NZRA) baru-baru ini.