Penyanyi malar segar Uji Rashid sudah mendapat kunci rumah PPR di Selangor hasil usahanya sendiri bertemu dengan pihak berkaitan bagi mendapat kemudahan perumahan.

Namun dia belum memasuki rumah tersebut kerana unit yang diberikan belum sesuai diduduki pada kadar segera. Dia berharap dapat memasuki rumah tersebut dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah saya sudah menerima kunci pada Isnin lalu dan sudah pun melihat rumah yang diberikan itu, tapi tak bolehlah nak masuk sekarang. Rumah itu satu unit baharu yang belum diduduki dan perlulah dibersihkan dahulu. Malah bekalan elektrik pun belum ada,” katanya kepada Gondang Online semalam.

Uji Rashid terus menyanyi.

Uji berterima kasih kepada banyak pihak yang membantunya termasuk kementerian berkaitan. Ada orang yang dikenali dan tak kurang juga orang yang tidak dikenali yang mahu membantunya.

Baru-baru ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar melalui akaun media sosialnya memuatnaik pasal pertemuannya dengan Uji dan beliau meluluskan permohonan rumah PPR untuk diduduki Uji pada kadar segera.

“Sejak kisah (pertemuan dengan Tan Sri Noh Omar) saya tular, banyak orangĀ  menghubungi. dan nama Uji Rashid jadi popular. Ramai juga yang menyatakan mahu membantu saya. Alhamdulillah saya hargai niat mereka.

“Saya ni bukan jenis yang meminta-minta, sebab itulah selama saya susah ini pun, saya tidak pernah bercerita dan hanya lalui sahaja kehidupan harian saya. Hanya kepada beberapa orang terdekat sahaja yang tahu saya dalam masalah, khususnya berkaitan rumah.

“Orang mungkin tak faham masalah saya sebab itulah apabila tersebar pasal kisah saya ini, ada netizen yang kecam dan mengatakan saya jenis yang tidak beringat semasa hidup senang dulu. Mereka ini tak kenal saya pun, bagaimana mereka boleh buat andaian macam itu,”kata Uji lagi.

Selain masalahnya sendiri, Uji juga memikul tangungjawab menjaga anaknya, Cico yang ada masalah kesihatan yang orang payah nak faham.

“Orang nampak Cico secara luaran macam sihat, tapi dia memerlukan rawatan,” jelas Uji lagi.

Sementara itu Uji yang sangat popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu masih aktif menyanyi dan memenuhi undangan mengadakan persembahan pentas serta program hiburan televisyen.