Peminat sukan badminton dan Datuk Wira Lee Chong Wei bakal menjadi saksi kepada tayangan sulung filem LEE CHONG WEI versi tambahan berdurasi 133minit pada 9 Mac 2018 di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City.

Acara ‘Tayangan Perdana Sedunia Lee Chong Wei Versi Tambahan 133 minit’ itu akan dihadiri Chong Wei dan keluarga, jaguh-jaguh badminton negara, selebriti serta pengarah dan para pelakon filem LEE CHONG WEI.
Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Tarikan utama majlis anjuran CB PICTURES dan SKY EVENTS dengan kerjasama MAHU PICTURES ini ialah tayangan filem LEE CHONG WEI versi tambahan berdurasi 133 minit yang
tidak akan ditayangkan di mana-mana pawagam.

Filem berkenaan akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter X 17 meter, sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Ia dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 20,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.
Penerbit Eksekutif Filem, Datuk Joe Lee berkongsi, “Chong Wei belum lagi menonton filem berkenaan dan akan menyaksikannya buat pertama kali bersama penonton yang hadir pada
majlis yang berlangsung pada 9 Mac.

Ia akan menjadi majlis istimewa buat Chong Wei dan semua yang hadir,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, peminat juga boleh menyaksikan acara Permaidani Merah sepanjang 100 meter yang mengalu-alukan kedatangan jaguh-jaguh badminton tanah air, para pelakon filem ini serta tetamu selebriti.

Pihak penganjur akan turut menjemput skuad badminton Negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna ini.Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan para penyanyi popular yang bakal diumumkan kelak.

Mereka akan menyanyikan lagu-lagu tema filem. Sekurang-kurangnya 10 gerai penaja akan diadakan di dalam Stadium Nasional dan ia akan bermula sebaik pintu stadium dibuka untuk penonton bermula jam 4 petang pada 9 Mac.

Tiket untuk acara berharga RM88, RM108, RM128 dan RM168 boleh dibeli menerusi laman web WWW.MYTICKET.ASIA mulai 20 Januari 2018. Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh dikemukakan di talian 03-8605 0195.
Setiap pembelian tiket membolehkan penonton menerima secara percuma, sehelai kemeja-T filem LEE CHONG WEI yang bernilai RM59, sekeping tiket filem LEE CHONG WEI di pawagam GSC, sekeping poster edisi terhad filem LEE CHONG WEI yang ditandatangani
terdahulu oleh Chong Wei dan para pelakon serta satu beg tenunan tajaan filem.

Semua ini akan diedarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari tayangan perdana tersebut. Selain itu, pembeli tiket juga berpeluang memenangi hadiah menarik untuk cabutan bertuah seperti raket badminton YONEX LEE CHONG WEI sebanyak 100 unit, telefon pintar SAMSUNG (5 unit), buku filem (30 unit) dan pelbagai lagi hadiah menarik disediakan.

Filem LEE CHONG WEI diedarkan oleh GSC Movies dengan kerjasama penaja persembahan CNI, penaja utama YONEX dan PARKSON; HWA TAI (biskut rasmi); 100PLUS (minuman isotonik rasmi); PENTENS (bahan binaan rasmi); MANDARIN ORIENTAL KUALA LUMPUR (hotel rasmi); SANWA (pencetak rasmi); ISUZU (kenderaan rasmi), GARNIER MEN (produk penjagaan kulit rasmi), POWERNET (pelabur hartanah rasmi), dan penghargaan khas kepada SAM.