Suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas dakwaan mencederakan anak lelakinya, pada 25 Februari lalu. Dia membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, Armin, 53, yang kini tidak berkerja didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukannya  di rumahnya di Denai Alam, Shah Alam , pada pukul 4.00 pagi, 25 Februari lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh mambawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu.

Ziana yang membuat laporan terhadap kejadian itu pada 27 Februari lalu bagaimanapun tidak kelihatan pada prosiding mahkamah hari ini.

Armin ketika membuat rayuan meringankan jaminan, memaklumkan perbuatan itu dilakukan dengan tujuan mengajar anaknya mengaji dan bersolat.

“Saya tidak dera anak. Saya ajar dia mengaji dan solat, tetapi dia tidak faham dan bebal,” katanya.

Raja Noor Adilla kemudiannya menurunkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun semasa prosiding dijalankan, bekas pramugara itu tidak mempunyai penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi dan kes disebut semula pada 4 April ini.

Armin dan Ziana berkahwin pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Ziana bagaimanapun enggan mengulas pasal kes yang dihadapi suaminya dan meminta diberikan ruang pada masa-masa begini.