Sebagaimana yang dijanjikan, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan wajah anaknya pada hari ketujuh kelahiran hari ini.

Siti memuatnaik video yang memaparkan wajah si bayi yang digelar Fatimah Az Zahra melalui akaun Instagramnya, @ctdk.

Dia juga memberitahu akan menyiarkan secara langsung majlis akikah serta sidang memberitahu nama sebenar bayinya pada pukul 9.00 malam ini menerusi saluran Youtube rasmi Siti Official Video.

Video tersebut disertakan caption berbunyi: “Bismillahirrohmanirrohim dan Assalamualaikum,
Saya dan suami ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini.

“Hari ini merupakan hari ketujuh usia kelahiran anakanda kami yang kami namakan dengan gelaran Fatimah Az-Zahra selama seminggu ini.

“Inilah penyejuk hati, anugerah ilahi, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami.

“Insha-Allah, pada malam ini, suami saya akan mengumumkan nama sebenar anakanda kami dan boleh ditonton secara langsung menerusi akaun youtube Siti Official Video bermula jam 9 malam. Kami akan mengadakan majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik pada malam ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kami selama ini dan hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik kalian. Semoga Allah merahmati kita semua,” tulisnya.