Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ, Kajang kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Allahyarham yang juga bekas ahli parlimen Sik, 84, meninggal kerana pneumonia.

“Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas,” kata anaknya Asrul Sani.

Menurut Sani, arwah bapanya dimasukkan ke hospital empat hari lalu apabila kesihatannya semakin merosot.

“Saya menjaganya sejak lebih setahun lalu dan arwah sudah lama tidak aktif kerana masalah kesihatannya.

“Ada pesanannya buat kami, tapi tak eloklah saya dedahkan kerana ia lebih kepada pesanan untuk keluarga.

“Kami reda dengan pemergiannya dan kami puas kerana arwah dijaga dengan baik. Arwah seorang pendidik dan mencurahkan ilmu yang ada padanya kepada keluarga dan masyarakat.

“Bukan sahaja ilmu (sastera), tapi dia juga mengajar agama,” kata Asrul lagi.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan empat anak itu diklahirkan pada tahun 1933 di Sik Kedah.

Shahnon mula menghasilkan novel pertamanya, Rentong pada 1956. Karya-karyanya banyak mengetengahkan isu masyarakat dan soal kemiskinan.

Antara novel terkenal beliau ialah Ranjau Sepanjang Jalan (1966) yang dijadikan teks sastera tingkatan enam dan diangkat ke layar perak pada 1983.

Selain itu, novel Srengenge (1973) dipilih sebagai novel terbaik dan memenangi Panel Hadiah Karya Sastera 1973.

Selain terlibat dalam dunia sastera, penerima anugerah Sasterawan Negara pada 1982 ini juga pernah bergiat aktif dalam politik.

Allahyarham menyandang jawatan ahli Parlimen Sik mewakili PAS dari tahun 1999 hingga 2004