Penyanyi Datuk Dhalan Zainuddin mempunyai semangat yang kuat untuk terus menyanyi dan itulah salah satu terapi membuatkan tahap kesihatannya segera membaik.

Dalam masa beberapa bulan, dia semakin pulih daripada angin ahmar yang sedang ditanggung. Dia juga mahu kawan-kawan melihatnya sihat dan rasa tak senang bila kenalan melihatnya dalam keadaan sakit.

Sokongan isteri, Effa Rizan yang sentiasa sabar.

Dhalan akan mengadakan persembahan bersama kawan kawan dalam Dato’ Dhalan Zainuddin Charity Funrising Concert yang akan diadakan pada 19 Februari ini di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur mulai pukul 2.30 petang.

Turut bersama dalam konsert tersebut ialah Jay Jay, Jatt dan Fredo. Ia juga akan dimeriahkan oleh artis naungan Melody United Music iaitu Kris Patt, Band Patriot, Wafi, Alfi Alwi dan Calvin Clarke.

Semangat tinggi untuk pulih.

Tiket tiket amal dijual pada harga RM250 (VVIP), RM200 (Platinum), RM150 (Emas), RM100 (Perak) dan RM50 (Gangsa). Semua tiket bersama tempat duduk kecuali kelas Gangsa yang berdiri.

Semasa ditemui pada majlis sidang media berkaitan konsert itu baru-baru ini, Dhalan, 76, seronok bercerita pasalnya dan tak sabar untuk menghiburkan penonton.

“Kalau ada yang tanya saya macam mana saya boleh segera baik, saya ni tak pernah abaikan apa yang doktor mahukan.

“Saya makan ubat mengikut aturan dan menjalani rawatan susulan sebagaimana yang diaturkan.

“Setiap minggu rutin saya padat dengan susulan doktor kerana saya membuat susulan dengan pakar saraf, pakar otak, pakar jantung dan fisioterapi,” kata Dhalan.

Dhalan juga seringkali memuji isterinya, Datin Effa Rizan yang sentiasa ada bersamanya dan sabar dengan kerenahnya.

“Orang sakit ni memang sensitif dan dia sentiasa sabar dengan saya serta mengatur semua keperluan saya,” tambah Dhalan lagi.

Dhalan juga berharap peminat akan menyokong konsert itu nanti dan dia berusaha memberikan persembahan terbaik.

Konsert amal tersebut diuruskan oleh Persatuan Karyawan Malaysia dan Melody United Music.