Konsert Retro dengan konsep nostalgia 70-an kini sedang dilangsungkan di Istana Budaya selama dua hari, malam ini dan malam esok.

Rugi kalau peminat lagu nostalgia tidak luangkan masa menonton konsert julung kali diadakan itu.

Sebelum ini, siri Konsert Retro membariskan penyanyi 60-an, kali ini giliran muzik era 70-an.

Uji Rashid

Ia membariskan Uji Rashid, Hail Amir, Jay Jay, Dayangku Intan serta dua angkatan muda, Lan Solo dan Asmidar. Mereka diiringi Orkestra Tradisional Malaysia.

Uji Rashid mengembalikan lagu berhantunya Kuingin Selalu Disampingmu dan Semakin Hari Semakin Sayang. Dia juga berduet dengan Hail menerusi lagu Antara Matamu Dan Mataku, Hujan serta Katakanlah.

Dayangku Intan dan Jay Jay

Hail pula semestinya pilih lagu Wajah Kesayangan Hamba dan Kau Datang Lagi.

Mereka juga berkongsi pengalaman memulakan kerjaya seni bersama Kompleks Budaya Negara (Istana Budaya) pada awal tahun 70-an.

Dayangku Intan yang sudah lama menyepi daripada persembahan pentas menggamit memori dengan lagu lagu Semakin Rindu Semakin Sayang dan Berpaut Didahan Cinta serta bersama Jay Jay dengan lagu Kita Insan Biasa dan Peralihan Zaman.

Hail & Uji

Mereka membuka rahsia, itulah kali pertama lagu tersebut dipersembahkan bersama kerana semasa lagu tersebut dipasarkan, mereka tiada undangan.

Jay Jay pula membawakan lagu top bersama Carefree, Rindu Bayangan dan Dendangan Lagumu.

Lan dan Asmidar pula mempersembahkan lagu lagu popular lain seperti, Kisah Seorang Biduan, Korban Percintaan, Abang Sayang Adik Sayang, Mawarku, Lagu Gembira, Selamat Pagi Sayang, Antara Hujan Dan Air Mata, Basikal Tua dan banyak lagi.

Artis tari Istana Budaya turut mempersembahkan tarian lagu lagu Hindi dan Inggeris popular era tersebut.

Di akhir persembahan kesemua artis menghidangkan lagu Seiring Sejalan.