Pasaraya milik bersama Datuk Rosyam Nor, ST Rosyam Mart dibuka pada 1 Jun lalu sebagai percubaan sistem yang digunakan menjelang pembukaan rasmi yang dirancang selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Namun Rosyam terkejut apabila pasaraya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur yang beroperasi 24 jam itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan hasil sokongan dan tular yang dihasilkan oleh pelanggan mereka.

“Sebenarnya saya pun panik juga apabila pada hari pertama sahaja sambutan sangat menggalakkan sehingga pelanggan terpaksa berbaris untuk masuk. Di kaunter pembayaran juga terpaksa beratur panjang.

“Saya mendekati pelanggan dan memohon maaf kepada mereka kerana terpaksa menunggu. Kami tak jangka begitu ramai yang datang memberi sokongan sejak hari pertama lagi,” katanya semasa ditemui di pasaraya itu lewat tengah malam tadi.

Rosyam juga berterima kasih kepada pelanggan yang membuatkan mart tersebut tular sehingga mereka cemas melayani pelanggan terlalu ramai.

Di sebalik kecaman dan gesaan agar pasarayanya diboikot atas alasan dirinya yang dilihat rapat dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang tewas pada pilihanraya lalu, sambutan yang diberikan menunjukkan sebaliknya.

Rosyam bersama pengunjung.

“Saya ni manalah aktif berpolitik, tengoklah laman sosial saya mana ada saya bercakap pasal politik,” ujar Rosyam.

Sebagai seorang selebriti dia semestinya memenuhi permintaan semua pihak untuk terlibat dalam apa sahaja aktiviti seni tanpa mengira parti politik.

Rosyam dilihat rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana kerap diundang menjadi pengacara dalam majlis melibatkan Najib sebelum ini.

“Ada juga yang membuat fitnah memuatkan kata-kata memperlekehkan kerajaan sekarang, sedangkan ia bukanlah kenyataan daripada mulut saya sendiri,” katanya.

Idea membuka pasar raya ST Rosyam Mart Sdn Bhd. tercetus dua tahun lalu dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan. Pada hari pertama dibuka pun ada pesaing dari pasaraya jenama lain yang datang meninjau harga yang mereka tawarkan.

“Niat saya hanya nak mengurangkan bebanan rakyat dengan harga barangan yang makin tinggi. Lebih-lebih lagi perayaan Hari Raya Aidilfitri pun sudah hampir tiba, sudah semestinya pembeli akan berhadapan dengan harga barangan yang mahal.

“Tetapi di ST Rosyam Mart, saya menjanjikan barangan yang dijual di sini adalah paling murah di dalam pasaran. Lebih istimewanya kamu menawarkan suasana membeli belah dalam suasana moden.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri ini, saya akan buat majlis pembukaan pasar raya tersebut secara rasmi dengan menawarkan harga ayam RM0.88 sekilogram,” katanya yang menyewa 13 lot unit kedai termasuk kesemua ruang parkir.

Rosyam juga berjanji harga yang diletakkan akan kekal murah berbanding pasaraya lain dan bukannya murah sekadar gimik pembukaan sahaja. Malah dia juga memastikan barang basah yang dijual juga sentiasa segar.

“Kami mendapat bekalan ikan terus daripada nelayan. Sebaik ikan didaratkan, ia akan terus dibawa masuk ke ST Rosyam Mart, sebab itulah ia datang dalam keadaan segar,” katanya lagi.