Pelakon cantik Risteena kini menjawat jawatan Pengarah Urusan dan memiliki saham dalam perniagaan produk kecantikan Cantik Dara, Cantik Dara Sdn. Bhd.  Dari mana dia dapat modal memulakan perniagaan?

Jangan pandai pandai membuat andaian dia berselindung di sebalik nama orang lain yang ada kaitan untuk menggerakkan perniagaan itu. Apatah lagi mahu mengatakan dia disponsor seseorang berkedudukan untuk itu.

“Sebagai Pengarah Uusan semestinya saya keluarkan modal. Sebenarnya saya bukan bersendirian, saya ada rakan kongsi. Dia orang biasa dan tidak mahu menampilkan diri, jadi sayalah yang akan ke depan untuk mempromosikan produk jenama Cantik Dara ini.

“Cantik Dara bukanlah jenama baharu, sudah dua tahun berada di pasaran. Saya dan rakan kongsi membuat penjenamaan semula dengan mengekalkan namanya. Saya meneruskan produk sedia ada kerana selama ini memang Cantik Dara sudah ada pengikut.

“Secara peribadinya saya sebenarnya pengguna produk ini terlebih dahulu. Keberkesanannya membuatkan saya pulih daripada masalah kulit membuatkan saya yakin, itulah sebab saya berani melabur,” kata Risteena semasa ditemui pada majlis pelancarannya semalam.

Risteena atau nama penuhnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas mengaku menggunakan sepenuhnya wang hasil berlakon yang disimpan selama ini untuk melabur dalam perniagaan.

Produk Cantik Dara boleh dibeli di laman sesawang www.cantikdara.biz. Mereka juga mengalu-alukan usahawan yang berminat menjadi stokis dengan menghubungi talian 03-7832 5333 atau e-mel ke info@cantikdara.com

Apakah penglibatan dalam pernigaan sebagai gerak awal Risteena, 28, bakal berumah tangga dan mengurangkan lakonan?

“Pernigaan ini sebagai persediaan untuk masa hadapan. Saya sedar… sampai bila saya akan terus mendapat tawaran berlakon. Sekarang ini pun nama saya bukan popular macam dulu.

“Saya tak mahu menjadi orang yang tak ada kerja, bila tak ada tawaran berlakon, tak ada job, sebab itulah saya buat bisnes. Bukanlah pula kerana nak kahwin.

“Kalau bisnes saya berjalan lancar dan berjaya, baharulah boleh kahwin,” katanya berseloroh.

Berkait pasal hati dan perasaan, Risteena mengakui dia masih solo. Bukanlah tak ada kawan lelaki, cuma belum ada yang menjurus ke arah mendirikan rumah tangga.

“Saya sibuk sebenarnya, orang mungkin rasa lama tak nampak saya. Saya sibuk di lokasi. Malah tahun ini sahaja, tiga buah filem lakonan saya dijadualkan ditayangkan. Saya perlu juga melibatkan diri dalam mempromosikan filem-filem itu,” katanya.