Bekas penyanyi dan ahli perniagaan jualan langsung kosmetik jenama terkenal, Raja Noor Saadah Salehuddin meninggal dunia pagi tadi setelah terjatuh dalam bilik air.

Allahyarham juga bekas isteri kepada produser Datuk Yusuf Haslam. Dua orang adiknya Boy dan Wan ialah anggota kumpulan Carefree yang popular pada tahun 1970-an.

 

Seorang kenalan rapatnya semasa hayat, yang menggunakan nama Hayati Omar dalam akaun Facebook  memuat naik perkongsian semasa mengenali arwah.

Allahyarham Raja Noor Saadah

“Al fatihah kepada arwah Raja Noor Saadah kerabat Selagor dan Perak, wanita yang sangat baik budi pekertinya ini juga seorang isteri yang taat dan soleh telah pergi ke PenciptaNya untuk selama-lamanya.

Penghormatan terakhir kenalan di Masjid Al Mustaqim, Bandar Seri Putra Bangi.

“Saya mengenali arwah Kak Noor lebih 30 tahun yang lalu dalam dunia perniagaan kosmetik. Beberapa dekad yang lalu hingga ke hari ini, arwah masih gigih berusaha dalam dunia perniagaan bersama suami tercinta.

Selamat jalan…

“Sangat menyanjungi ketabahan beliau bersama Datuk Mahayuddin Mohd Yasin, jatuh bangun dalam dunia perniagaan tidak pernah melunturkan cinta abadi beliau kepada suami tercinta. Begitu juga dengan suami yang sangat mengasihi arwah sentiasa bersama ke mana jua.

“Kepada sahabat yang seumpama saudara ku, sabarlah duhai kekanda Abg Din @Tok Din dengan pemergian Kak Noor.  Titipkan doa moga arwah berada dalam jannatul firdausi.

“Kak Noor… kawan-kawan sahabat-sahabatmu akan merindui dirimu selepas ini  kerana kakak adalah wanita yang sangat baik, tabah dan sentiasa memberi inspirasi jati diri yang kuat dalam dunia bisnes. Sehelai tudung hadiah darimu itu akan kuabadikan ia buat selama-lamanya. Al fatihah,” tulis Hayati.