Pelakon serba boleh, Raja Ilya, 33, sah bergelar isteri kepada lelaki warga Australia dikenali sebagai TWG atau Trent, 37 pada 23 Disember lalu.

Beliau berkata, majlis pernikahan itu diadakan di kediaman saudara suaminya di Perth, Australia dan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

“Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Majlis ini dilakukan secara tertutup dan dihadiri keluarga serta kenalan terapat sahaja.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan saya berharap kenalan dan peminat doakan jodoh kami kekal selamanya,” katanya.

Ilya berkata, beliau masih sibuk dengan jadual penggambaran drama Syurgaku Tak Sempurna 2 yang akan disambung di Perth bulan depan.

Katanya, jika ada rezeki beliau tidak menolak untuk mengatur sebuah majlis resepsi di Malaysia bergantung kepada kelapangan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.