PRESIDEN Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin mencatat sejarah dalam bidang kewartawanan negara apabila menjadi wartawan wanita Melayu pertama menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk, ketika masih aktif bertugas.
Tengku Khalidah, 42 yang juga Editor Hiburan  Mingguan Malaysia di Kumpulan Utusan adalah antara penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena sambutan Ulangtahun ke-86 Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang berlangsung di Istana Pahang, Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Anugerah satu penghargaan kepada wartawan hiburan.
Anugerah satu penghargaan kepada wartawan hiburan.

Memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Pentas Dunia ketika menunggu keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1993, beliau kemudiannya berpindah ke Akhbar Harian Watan dan bertugas selama dua tahun, sebelum beralih ke syarikat akhbar ulung dalam negara, Kumpulan Utusan pada April 1996.

Jawatan terkini beliau di Kumpulan Utusan adalah sebagai Editor Hiburan di Mingguan Malaysia yang merupakan akhbar nasional yang paling tinggi edaran dalam negara ketika ini.

“Saya menjunjung kasih kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah di atas penganugerahan yang akan menjadi kenangan paling indah dan pencapaian peribadi paling membanggakan dalam kehidupan saya ini.

Tengku Khalidah ada aura dalam berpuisi.
Tengku Khalidah ada aura dalam berpuisi.
“Sesungguhnya, pencapaian ini adalah tanda aras tertinggi buat wartawan wanita. Lebih membuatkan saya rasa terharu, bagi pihak wartawan hiburan, pengiktirafan ini sebagai satu penghormatan buat kerjaya kami yang sememangnya amat dekat dalam membantu perkembangan bidang kesenian, perfileman dan seni kreatif dalam negara.
“Terima kasih yang tidak ada akhirnya buat semua guru-guru saya sedari zaman persekolahan rendah, menengah dan universiti saya. Juga buat keluarga, ketua-ketua saya di Kumpulan Utusan terutamanya Ketua Pengarang, Datuk Aziz Ishak yang sentiasa memberi kepercayaan dan tunjuk ajar terbaik kepada saya semenjak hari pertama saya di Utusan Melayu sehingga ke hari ini. Untuk seluruh kehidupan, saya tidak mampu membalas jasa-jasa mereka ini,” kata Tengku Khalidah.
Selain aktif menulis berkenaan bidang kesenian dalam negara, anak pertama dalam empat adik-beradik kelahiran Dungun, Terengganu ini merupakan seorang yang cukup aktif dalam bidang deklamator puisi di peringkat kebangsaan. Semenjak zaman persekolahan, graduan Ijazah Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini antara pelajar sekolah yang telah bersaing di pentas Sayembara Puisi Kebangsaan mewakili Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam bidang tersebut, Tengku Khalidah mencacat sejarah sebagai deklamator puisi pertama dalam negara yang diberi peluang menyampaikan puisi di pentas paling berprestij Istana Budaya dengan menggunakan teknologi ‘black ghauze’ yang diiimport khas dari Singapura dengan harga mencecah RM100,000. Beliau ketika itu mendeklamasikan puisi khas dalam acara “Konsert Diraja- Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada” di hadapan KDYMM Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.
Selain itu juga, Tengku Khalidah adalah merupakan Juara Pengacara Jemputan NONA 1998. Terkini WHAM di bawah teraju Tengku Khalidah baharu selesai menganjurkan acara bacaan puisi terbesar dengan tema Doa Untukmu Rohingya di Laman Santai, Istana Budaya pada 1 Januari lalu.dtk-khalidah-5dtk-khalidah-3