Program realiti mencari mutawif umrah dan haji, Manhajj Mutawwif di Astro Oasis ditonton tiga juta penonton musim lalu.

Penerbit eksekutif program yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Mutawwif.com, Abdul Halim Ikhsan berkata peserta musim terbaharu yang sedang bersiaran sangat mantap.

“Sebab kami sudah ada pengalaman, musim ini tugasan yang diberikan menonjolkan sudut ilmu kecekapan mutawif mengurus dan mengatasi isu berkaitan jemaah di Mekah dan Madinah.

Ustaz Halim dan pengacara

“Musim ini kami memperluaskan pencarian ke beberapa negara lain antaranya Indonesia, Singapura dan Brunei kerana feedback musim lalu turut sampai ke sana,” katanya.

Musim kedua juga berbeza kerana wujudnya aplikasi khas yang dikenali Manhajj Apps yang memudahkan jemaah akan datang memperoleh ilmu berkaitan ibadat itu.

Malah, aplikasi itu juga mempunyai butang panik bagi memudahkan jemaah yang berdepan masalah ‘hilang arah’ ketika berada di Tanah Suci mendapatkan bantuan.

Akmal bersama jemaah.

Selain itu, aplikasi itu juga menyediakan kuiz berkaitan program itu sebaik saja episod pertama bersiaran pada 26 Januari ini.

Setakat minggu kedua yang bersiaran Sabtu lalu belum ada penyingkiran. Adakah minggu ketiga yang akan bersiaran Sabtu ini pukul 9.00 malam akan ada penyingkiran pertama? Jangan lupa saksikannya di Astro Oasis.

Gaya Shazni dan jemaahnya.

Tiga peserta yang menduduki tiga tangga terbawah ialah Fauzi, Muaz dan Aismat. Namun ketiga tiga mereka boleh menarik nafas lega sebab tiada penyingkiran.

Lima lagi peserta musim ini ialah, Hazwan, Shazni, Akmal, Fadhli dan Naim. Program dikemudi oleh Amin Idris dan Sharifah Shahirah.

Watak-watak diwujudkan supaya kandungan lebih menarik dan mencabar malah ada isu, soalan dan kerenah dilontar secara spontan.

Naim peserta termuda.

Pada minggu kedua berlatarkan ziarah luar di Madinah. Pelbagai situasi diberikan dan pelakon membawakan watak sebagai jemaah mengutarakan soalan dan perlakuan untuk ditangani oleh mutawwif.

Antara pelakon yang terbabit dalam sketsa setiap episod ialah Amy Mastura, Ropie Cecupak, Syed, Salman, Bell dan Kamarool Yusof.

Kandungan yang dipilih dikumpul daripada mutawwif berpengalaman sebelum ini. Malah Abdul Halim sendiri seorang mutawif dan sudah mengurus ribuan jemaah.

Foto selepas usai minggu 2.

Manhajj Mutawwif musim kedua menyaksikan lapan peserta dari tiga negara dan berbeza latar belakang bertanding merebut hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 beserta pakej umrah.

Mereka ialah Akmal Maarof (Selangor), Muadz Mohd Isa (Melaka), Mohamad Shazni Khir Bahari (Johor), Muhamad Zulfadhli Razali (Aceh, Indonesia), Adi Asmat Lamat (Brunei), Muhammad Fauzi Tumin (Melaka), Muhammad An-Naim Yasim (Puchong) dan Muhammad Hazwan Padzil (Kelantan).

Saat penyingkiran.

Setiap peserta dibimbing tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang masing-masing yakni Ustaz Shafie selaku tenaga pengajar dan pembimbing haji dan umrah, Que Haidar selaku tenaga pengajar seni pementasan pentas dan Abdul Halim pula sebagai ketua tenaga pengajar.

Setiap episod, juri tetap ialah Ustaz Noor Effendi Hamid manakala juri jemputan terdiri daripada agamawan terkenal antaranya Ustaz Zafiri, Profesor Muhaya dan Dr Zaharudin.

Artis tempatan yang dijemput sebagai juri pula antaranya Waris, Mawi, Akhil Hayy, Altimet, Shamsul Ghau Ghau dan ramai lagi.

Manhajj Mutawwif adalah program realiti berunsur dakwah fokus kepada kerjaya mutawif yang bertanggungjawab dalam mengurus jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.