Industri hiburan negara kehilangan seorang lagi pelakon dan pengarah berbakat besar tanah air Roslan Hussin yang meninggal dunia petang semalam pada usia 55 tahun.

Menurut isteri arwah, Normizan Hamzah, arwah secara tiba-tiba diserang sakit jantung semasa sedang berada di hadapan lampu isyarat berdekatan dengan Setapak Kuala Lumpur bersama dengan anak kedua untuk keluar membeli kasut sekolah.

Semasa kurang sihat tahun lalu diziarahi Zack daripada Seniman.

“Anak arwah meminta pertolongan dengan orang awam yang berada berhampiran dan arwah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur namun setibanya arwah di Hospital Kuala Lumpur doktor mengesahkan arwah telahpun menghembuskan nafas yang terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital, ” kata Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan media.

Menurut anak kedua arwah yang bersama arwah pada ketika itu, kejadian berlaku lebih kurang jam 5.30 petang.

Arwah Roslan Hussin meninggalkan seorang isteri Normizan Hamzah 44 tahun dan empat orang anak.

Antara filem lakonan arwah ialah Layar Lara. Jenazah akan dimandikan di Surau Al Husna PPR Sri Semarak pada pukul 8.30 pagi dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara lebih kurang pukul 10.00 pagi.

Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Exco Seniman Malaysia serta Ahli-Ahli Seniman mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga arwah.