Pecinta haiwan khususnya kucing naik angin dan marah-marah malah menggelar seorang pengguna Facebook sebagai anjing kerana memuatnaik video tiga ekor anjing liar membaham seekor kucing sehingga mati.

Pengguna Facebook tersebut dikecam dengan kata-kata kesat kerana tidak menunjukkan usaha membantu sehingga kucing tersebut mati.

Menurut pengguna Facebook yang memuatnaik video tersebut yang mahu dikenali sebagai Rosli, dia bimbang untuk turun membantu kerana anjing-anjing tersebut kelihatan agresif.

“Perkara ini berlaku sekelip mata. Semasa saya parkir kereta di satu lorong belakang, tiba-tiba kedengaran tiga ekor anjing riuh dan saling mengejar.

“Saya tersentak apabila aksi mereka merempuh kereta saya sebanyak tiga kali. Kemudian ketiga-tiga ekor anjing itu kelihatan saling berebut menggongggong seekor kucing di sebelah kereta saya.

“Pada masa itulah saya mencapai telefon dan merakam. Saya agak pada masa itu kucing tersebut sudah mati. Saya juga ketakutan untuk turun dan membantu kerana saya seorang yang fobia dengan haiwan, apatah lagi anjing liar yang garang,” kata Rosli.

Banyak pengguna Facebook yang mengecam pengguna itu kerana tidak turun membantu malah sempat merakam dan memuatnaik ke laman Facebook.

“Bila saya baca komen negatif tersebut, saya tak sangka orang yang kononnya mencintaiĀ  haiwan dan ada sifat kasih sayang mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyamakan saya sebagai haiwan, saya tak kisah dan anggap mereka ini sebenarnya jenis yang kurang kasih sayang dan hanya mencari salah orang sahaja,” tambah Rosli lagi.