Nik Omar Nik Abdul Aziz memulakan tugasnya sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah bersama Timbalannya, Zolkarnain Abidin di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini.

Pelantikan Nik Omar dan Zolkarnain adalah berdasarkan Klausa 7(a) Perlembagaan Yadim yang menyatakan bahawa semua pelantikan Yang Dipertua Yadim dan Timbalan Yang Dipertua Yadim adalah di bawah keputusan Perdana Menteri.

Hari pertama jalan tugas di Yadim

Kedua-dua mereka akan memegang jawatan berkenaan selama tempoh dua tahun.

Pelantikan Nik Omar adalah bagi menggantikan Dr. Yusri Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Oktober, manakala Zolkharnain menggantikan Mohd. Zaidi Ramli yang bertukar ke Jabatan Agama Negeri Sembilan.

Dengan pelantikan itu, Nik Omar kini menjadi Yang Dipertua Yadim ke-13 sejak penubuhan badan dakwah ini pada 1974.

Yadim adalah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Yadim ditubuhkan sebagai sebuah badan yang bertindak bagi menyelaras aktiviti serta program dakwah yang pelbagai di negara ini.

Manakala tiga lagi Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin, Mohd Raimi Abdul Rahim dan Dr Mohd Abdul Razak turut dilantik dalam pengurusan baharu Yadim.