Pelakon jelita Nelydia Senrose, 24, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35  kira kira jam 3.28 petang tadi di ibu negara.

Dengan sekali lafaz, pasangan yang dinikahkan oleh bapa Nely, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid itu sah bergelar suami isteri. Majlisnya secara tertutup di sebuah hotel terkemuka.

Terdahulu, pasangan ini bertunang sebagai syarat sebelum meneruskan upacara pernikahan di depan lebih 200 orang tetamu dan kenalan terdekat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan. Nely memilih persalinan rona putih gading  rekaan Ezuwan Ismail.

Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala yang dirancang dalam tempoh singkat sejak awal tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan.  

“Doa saya di Tanah Suci serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia. Insya-Allah,” katanya.

Mereka bersua buat kali pertama pada 6 April 2017.  Bagaimanapun ketika itu, tiada apa yang berlaku. Seterusnya selepas sekian lama hubungan sepi begitu saja, mereka sekali lagi bersua hujung tahun yang sama.

Hafez terbang ke Amsterdam untuk memberi kejutan sekaligus melamar  Nelydia pada April 2018. Ketika itu Nely sedang bercuti di Eropah.

“Selepas yakin, saya bawa dia berjumpa dengan papa untuk meminta restu. Asalnya rancangan perkahwinan ini nak dibuat tahun lalu, tetapi ada saja kekangan.  Di sebalik ujian dan halangan sebelum ini, saya dan suami berjaya melaluinya sebaik mungkin. 

“Sekembali dari umrah 5 Januari lalu, saya dan dia putuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan memulakan persiapan,” katanya.

Esok pasangan ini akan diraikan pada sebelah malam di lokasi sama. Jika tiada aral melintang, sebuah majlis keraian akan diadakan di Kelantan musim raya depan.