Lama tak dengar khabar penyanyi Mya Ruslee atau Mya Matahari, 44. Hari ini penyanyi Diari Biru itu meninggal dunia akibat kanser. Arwah meninggal sekitar pukul 4. 00 petang tadi di Hospital Sungai Buluh, Selangor.

Rakan-rakan seni mula memuatnaik status mengucapkan takziah di atas kehilangannya petang ini.

Ketika kanser menyerang dia lama menyepi sebaliknya mendapatkan rawatan. Malah ia membawanya sehingga berbulan berubat di negara China.

Arwah Meyanaliza Ruslee

Meyanaliza binti Ruslee atau turut dikenali sebagai Maya Matahari ialah seorang penyanyi dan pelakon di Malaysia. Arwah dilahirkan pada 13 Mei 1976 di Johor Bahru, Johor.

Beliau menceburi bidang seni apabila mula melancarkan album pertama beliau pada 25 Mac 1995 yang berjudul “Matahari” dengan lagu popular yang bertajuk sama.

Dua buah album kemudian menyusul dalam kerjaya seni beliau iaitu “Diari Biru” dan “Mata”. Selain itu, beliau turut menceburi bidang lakonan sama ada layar perak dan pementasan.

Selepas kejayaan beliau berlakon dalam filem Gemerlapan pada tahun 1997, diberi peluang berlakon teater Nyiur Gading Puncak Mahligai, Uda & Dara, Seruan Damai dan Hotel Malaya serta banyak lagi drama dan sitkom televisyen.

Beliau pernah berkahwin pada 26 Jun 2009 dengan kerabat di raja Pahang, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz dan perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga Ogos 2015 tanpa sebarang cahaya mata.

Pada 2018, beliau membuat kemunculan kembali dengan lagu terbaru “Perlu Ada Setia” dan pada masa yang sama menjadi peserta Gegar Vaganza musim yang kelima.