Personaliti media sosial terkenal Singapura, Mong Chin diminati kerana kecenderungannya mempromosikan gaya hidup sihat. Apatah lagi sekarang ini dia temui kecintaan baharu kepada dunia marathon.

Dalam laman sosialnya, Mong Chin banyak memuatnaik aktiviti sebenarnya dan bercerita pasal dunia kecantikan, makanan, fesyen dan pelancongan. Banyak tip berguna diberikannya.

Kini aktivitinya bakal ditonton di televisyen apabila saluran Lifetime menyiarkan program Run The World With Mong Chin mulai 23 Julai ini sebanyak enam siri.

“Saya sangat teruja dapat peluang muncul dalam program TV. Walaupun ini pengalaman pertama, namun saya sangat seronok kerana ia menggambarkan aktiviti sebenar saya dan saya membuat perkara yang saya suka,” katanya semasa ditemui dalam sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mong Chin atau lebih dikenali sebagai Mongabong di laman sosial mencipta nama melalui media sosial kerana perkongsian berkaitan kecantikan, pelancongan, fesyen, makanan sejak lima tahun lalu.

Program itu memaparkan Mong Chin menjelajah enam bandar iaitu Singapura, Kuala Lumpur, Chiang Mai, Cebu, Hanoi dan Lombok untuk menyertai marathon. Semasa menyertai marathon sebenar itu dia turut melakukan aktiviti di tempat menarik.

Aktiviti sampingan yang dimuatkan berkait makanan, destinasi menarik serta aktiviti di bandar-bandar tersebut.

Untuk edisi Kuala Lumpur, Mong Chin menyertai Marathon Standard Chartered, sesi bersama jurulatih kecergasan Nana Al Haleq, bersama pelukis batik serta ke Kafe Juan Valdez.

“Saya juga dapat peluang memandu kereta mewah Lamborghini di tengah-tengah kesesakan jalan raya Kuala Lumpur. Okey juga sesak tu sebab saya dapat duduk lama dalam kereta mewah itu,” katanya.

Program tersebut berkonsep rakaman secara bebas, malah footage yang dia rakam semasa marathon dan aktiviti lain turut dimuatkan dalam suntingan akhir.

Antara cabaran marathon paling berat ialah menyertai Spartan Sprint di Cebu, Filipina. Ia sebahagian daripada aktiviti Spartan Race Cebu 2018 yang memerlukannya merentasi cabaran berat seperti memanjat, merangkak melintasi api, lumpur dan pagar besi untuk menghabiskan larian

Di Hanoi dia menyertai Hash Hund Harriers, sebuah kelab larian tempatan dalam ekspedisi ke kawasan kampung manakala di Lombok dia sertai larian Rinjani 100 di samping ke Gunung Rinjani serta masuk larian pendek Bukit Sisek. Dia juga turut ke sekolah berenang gaya ikan duyung di sana.

Di Chiang Mai, Thailand dia  sertai Larian Singha yang diadakan sempena meraikan Tahun Baharu Thai yang diadakan pada sebelah malam. Di negaranya Singapura, selebriti itu sertai ILLUMI Run iaitu acara larian santai dengan iringan muzik rancak, pancuran air bercahaya dan zon-zon tarian.

“Saya bersemangat menamatkan semua cabaran yang dilakukan sebab saya tahu ia bakal disiarkan di TV. Saya juga mahu memberikan motivasi bahawa semua orang mampu melakukan apa sahaja cabaran walaupun tak pernah melakukannya,” kata Mong Chin lagi.

Jom tonton WHO RUNS THE WORLD WITH MONG CHIN pada 23 Julai, Isnin, 9.30 malam di LIFETIME Asia (Astro Ch 709).