Seramai 12 wanita bersaing dalam program realiti web Miss Pink Lady bagi mencari seorang model serba boleh bermula 1 Disember ini.

Ia dibawakan oleh jenama produk kecantikan wanita, Pink Lady dengan tawaran hadiah utama bernilai RM10, 000. Tayangannya setiap hari Sabtu pukul 9.00 malam.

12 wanita terpilih dalam program terbitan iCube Studio itu akan ditempatkan di dalam sebuah banglo dan akan diberi tugasan untuk dinilai daripada pelbagai sudut selaian keupayaan peragaan.

Sunshine tengah bersama enam finalis

10 peserta terpilih ialah Shazreen, Hafsah, Sakina, Tasha, Alvina, Tamii, Arveina, Adeline, Fifi dan Nashra. Dua lagi finalis akan diumumkan kemudian.

Bagaimanapun hanya enam peserta sahaja yang hadir pada majlis yang berlangsung di Hotel EDC Kuala Lumpur hari ini.

Model antarabangsa Sunshine dilantik sebagai Mentor dan pembimbing untuk melatih peserta. Dia juga bertindak sebagai pengacara. Juri akan menilai setiap tugasan dan penyingkiran akan dibuat sekiranya ada peserta yang gagal memenuhi kriteria yang dimahukan.

Setiap episod akan memaparkan aktiviti peragaan, fotografi, kerja amal, kerja periklanan TV, aktiviti lasak dan sebagainya.

“Untuk memastikan program berjalan lancar, kami dah buat persiapan rapi bagi mengangkat program ini setanding program realiti antarabangsa,” kata pengarah program, Azwan Ismail.

Peranan penonton juga diperlukan apabila diberi peluang mengundi peserta kegemaran di laman sesawang www.pinklady.tv. Siaran langsung boleh dilayari menerusi youtube  Pink Lady TV, Facebook dan Instagram akaun misspinklady.tv.

Penonton juga ditawarkan hadiah wang tunai dan hadiah iringan lain pada penghujung setiap rancangan. Acara kemuncak dijangka pada pertengahan Februari ini.

“Kami mencari seseorang yang bukan sahaja hebat dari segi peragaan, tetapi mempunyai pelbagai bakat untuk menjadi bintang serba boleh mengikut kehendak industri hari ini,”kata Pengarah Urusan iCube, Mohd. Hafiz Naslallizi.

Sunshine berbangga dipilih mengendalikan pertandingan ini. Apatah lagi ia kali pertama pertandingan pertandingan realiti secara online sepenuhnya.