Kumpulan Megadeth tahu bahawa kumpulan mereka pernah diharamkan masuk Malaysia. Namun selepas 30 tahun popular dengan muzik trash metal, mereka akhirnya berkonsert di Malaysia.

“Akhirnya kami di sini… untuk anda semua,” kata penyanyi utama Megadeth, Dave Mustaine di hadapan 3,500 peminat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dave Mustaine

Ternyata kumpulan itu sedar akan larangan terdahulu kerana mereka dikaitkan dengan unsur liar kerana latar muzik yang mereka bawakan.

Di Stadium Negara, kumpulan berasal California, Amerika Syarikat itu tampil imej bersih.

Penonton juga terkawal dan mereka berhimpun untuk menikmati muzik kumpulan legenda itu, bukannya kerana mahu lalok atau berhibur secara negatif.

Sementelah peminat yang hadir rata-ratanya golongan dewasa.Kepala mereka meminati muzik keras namun tingkah mereka terkawal.

Maklum sahaja rata-rata peminat berpangkat bapa orang. Malah ada juga kalangan profesional yang berhibur dengan kumpulan Megadeth.

Peminat berpuas hati dengan persembahan Megadeth.

Kalau bukan sekarang, entah bila lagi mereka berpeluang menonton konsert kumpulan itu. Megadeth sekarang sedang mengedakan konsert menjelajah Asia.

Dave yang juga bermain giter bersama rakan-rakan, David Ellefson (Bes), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbueren (dram) tampil dengan bertenaga walaupun sudah berusia. Mereka mematuhi tata tertib sesebuah persembahan di negara ini.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Dystopia, Hangar 18, Wake Up Dead, Peace Sells, Tornado of Souls, A Tout Le Monde, Post American World, Symphony, She Wolf, Lying In State dan beberapa lagi.