Dianggotai empat figura terhebat yang telah mempopularkan genre muzik thrash metal, Megadeth akhirnya mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia, Megadeth Live In Malaysia  pada 4 Mei ini di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Ia anjuran IME Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 1983, Megadeth memperkenalkan genre terbabit menerusi album pertama mereka yang diiktiraf sebagai Album Thrash Metal Terhebat Sepanjang Zaman.

“Kuala Lumpur adalah tempat yang kami sentiasa mahu membuat persembahan apabila kami menjelajah Asia,” kata  pengasas bersama dan juga ketua kumpulan berkenaan, Dave Mustaine.

Mereka membawa jenama muzik thrash ke Malaysia  dan ia adalah sesuatu yang tidak wajar dilepaskan.

Siri jelajah ini adalah bersempena dengan kemunculan album terbaru mereka, Dystopia selepas tiga tahun tanpa album baharu. Ini juga adalah album kelima belas daripada mereka.

Pengkritik muzik rock dan peminat memuji album Dystopia dan menyifatkannya sebagai hasil paling berjaya daripada salah satu band yang paling sinonim dengan genre muzik berkenaan.

Album tersebut mendapat pencalonan Anugerah Grammy untuk kategori Persembahan Metal Terbaik 2017. Dengan jumlah 49,000 unit yang dijual dalam masa seminggu, Dystopia pernah di kedudukan ketiga di carta Billboard Top 200 bersama-sama Adele dan Justin Bieber.

Ini juga adalah pencapaian tertinggi yang pernah diraih band ini sejak 1992 untuk Countdown to Extinction yang berjaya menduduki tempat kedua di dalam carta terbabit. Dystopia turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 20 Album Metal Terbaik 2016 oleh majalah Rolling Stone.

Selain Dave Mustaine kumpulan itu turut dianggotai David Ellefson yang bermain bes, Kiko Loureiro, gitaris dan Dirk Verbeuren di posisi dram.

Sepanjang tiga dekad lalu, Megadeth telah menjual lebih 50 juta album di seluruh dunia, menerima pelbagai pengiktirafan termasuk 12 pencalonan Grammy serta dianugerahkan dengan anugerah platinum untuk lima album berturut-turut.

Tiket untuk menyaksikan Megadeth Live di Malaysia berharga RM428 (Deth Pitt Zone, berdiri bebas), RM388 (VIP, tempat duduk bernombor), RM358 (Rock Zone, berdiri bebas), RM288 (CAT1, tempat duduk bernombor) dan RM198 (CAT2, tempat duduk bebas ).

Tiket boleh didapati menerusi TicketCharge online di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian hotline + 603- 92228811. Peminat Megadeth just dapat membeli tiket dari outlet tertentu Speedy video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di The Mines Shopping Mall atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Penang).

Tiket sudah dijual mulai 10 Feb 2017. Semua harga tiket adalah termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk yuran pemprosesan RM4. Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila layari @IMEAsia di Facebook, @IME_Asia di Instagram, @IMEProduction di Twitter, atau @IMEProductions di WeChat.