Bakat baharu, Maria Affendi dipilih Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mewakili Malaysia dalam pertandingan Festival Muzik Pop Asia Hong Kong  2019 (HKAMF 2019) yang bakal berlangsung pada 22 Mac depan di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong.

HKAMF 2019 ini akan mengumpulkan penyanyi-penyanyi popular dari Hong Kong, China, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Malaysia yang bertujuan untuk mencari penyanyi berbakat yang boleh diketengahkan untuk menjadi penyanyi terkenal serantau.

Seperti mana pada tahun sebelumnya, tahun ini penyanyi yang baru saja muncul dengan single, Haruskan Aku, Maria Effendi atau nama lengkapnya Siti Maria Ahmad Affendi akan bersaing dengan 6 buah negara yang akan di wakili oleh penyanyi negara mereka masing-masing untuk merebut gelaran juara dan sekali gus dapat mengharumkan nama negara Malaysia .

Selain Maria, penyanyi lain yang terpilih adalah  Liu Limin from Mainland China, Nowhere Boys (Hong Kong), #GBOYSWAG (Taiwan), Shiena Nishizawa (Jepun), Stella Jang (Korea), Jermaine Leong (Singapura), The Rube (Thailand) dan  ORANGE (Vietnam).

Mengulas persetujuannya untuk menyertai acara HKAMF 2019, penyanyi berusia 22 tahun ini menyifatkan acara itu boleh membuatkan dirinya dikenali bukan sahaja dalam negara malah di luar negara, selain dapat berkongsi genre yang dibawanya.

Sebagai peserta yang bakal mewakili negara untuk tahun ini, sambil meluahkan rasa teruja, Maria yang memulakan kerjaya nyanyiannya  ketika berusia 19 tahun berkata pertandingan itu juga adalah satu platform untuknya meluaskan muzik Malaysia ke pasaran serantau.

“Kita semua tahu muzik bersifat universal dan dengan menyertai acara festival muzik yang berprestij ini, saya boleh mencari peluang dan dan idea baharu sekali gus membuka jalan untuk saya dikenali di negara luar.

“Saya akan lakukan dengan sebaik mungkin demi untuk mengharumkan nama negara di sana,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media mengumumkan dia sebagai peserta HKAMF 2019 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru baru ini.

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang HKAMF 2014, J Arie yang juga artis kelahiran Hong Kong serta Nicole dan Hariz. Nicole pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik HKAMF 2016 manakala Hariz pula pernah memenangi kategori Anugerah Pilihan Paling Top HKAMF 2017.

Sepanjang bersama Chubby Buskers, Maria menimba banyak pengalaman di majlis perkahwinan, persembahan amal dan juga acara anjuran kerajaan dan korporat. Selepas tiga tahun,

Maria kemudiannya mengambil keputusan untuk bergerak secara solo dan lahirlah lagu Haruskan Aku, hasil ciptaan Shakirin dan beliau sendiri.

Format HKAMF mempunyai dua pusingan pertandingan iaitu pusingan pertama dan kedua. Pada pusingan pertama, ketujuh-tujuh negara peserta perlu memainkan satu lagu sendiri mengikut pilihan sendiri.

Selepas itu, hanya empat negara peserta sahaja yang akan layak untuk memasuki peringkat kedua (Pusingan Akhir).

Semua peserta yang menyertai festival ini merupakan artis yang terulung bagi setiap negara masing-masing.

Bertemakan “Music in one Asia Plus”, yang memfokuskan ‘muzik’ dan harmoni; pertandingan berkenaan bakal menyaksikan setiap peserta bakal merebut tiga gelaran iaitu Anugerah Supernova Asia, Anugerah Persembahan Vokal Tebaik dan Anugerah Persembahan Pentas Terbaik.

Setiap dari mereka akan dinilai oleh juri profesional yang terdiri daripada selebriti muzik serantau dan mereka adalah
Shen Lihui (China), Chen Shao Qi (Hong Kong), Ting Hsiao Wen (Taiwan), starRO (Jepun),  SohnPD (Korea), Colin Goh (Singapore), Ciang Teng (Malaysia), KRIS P (Thailand) dan Huy Tuan (Vietnam).

Seperti tahun-tahun sebelumnya, penonton di lokasi dan juga rumah berpeluang untuk mengundi kategori Anugerah Pilihan Paling Top Penonton menerusi telefom bimbit.