SUATU perkara yang sangat unik mengenai gelanggang seni tanah air ialah, ketika budaya popular sarat dengan kehadiran genre muzik dan pendatang baharu, namun apresiasi masyarakat pada perjuangan seni penyanyi sebelum era hari ini tidak pernah pudar.

Kecintaan dan sokongan masyarakat pada seniman-seniman terdahulu memberi makna yang cukup besar kepada mereka.

Justeru, apabila dua legenda muzik tanah air, Man Bai dan Rahim Maarof mengumumkan akan bergabung di sebuah pentas bagi menghiburkan peminat mereka, khalayak seni menyambut berita itu dengan penuh teruja.


Man Bai dengan pengalaman lebih 30 tahun dan Rahim Maarof yang sudah empat dekad bergelar anak seni telah mencatat sejarah sebagai pejuang seni tersohor.
Dan kerana keupayaan memahat dan mengukuhkan nama selama tempoh itu juga menyebabkan kedua-duanya berhasrat meraikan perjalanan seni mereka di pentas.
Konsert 2V menjadi taruhan Man Bai dan Rahim Maarof dalam mengembalikan memori peminat-peminat seni terhadap lagu-lagu mereka.
Konsert 2V Man Bai & Rahim Maarof dianjurkan oleh Lollipop Living dan akan diadakan pada 6hb April 2019 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Kuala Lumpur.


Dalam persembahan itu nanti, Man Bai dan Rahim Maarof tentu sekali tidak akan lupa untuk mendendangkan lagu-lagu yang telah mendewasakan ramai peminat mereka.
Lagu “Kau Ilhamku” yang sudah berkumandang selama 24 tahun dan didengari oleh semua lapisan masyarakat. Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir ketika bersama Gersang akan pasti berada dalam senarai teratas.
Begitu juga dengan legenda Rahim Maarof yang pernah meruntun hati banyak peminat wanita menerusi lagu seperti Jangan Kau Rayu, Cinta Kristal, Usang dan Lizawati juga pasti akan didendangkannya.
Konsert 2V yang menggabungkan dua nama besar ini bukan sekadar sebuah persembahan semata-mata, sebaliknya, pementasan ini merupakan manifestasi kecintaan seni yang tidak pernah padam dalam diri Man Bai dan Rahim Maarof.
Sekalipun bukan di pentas mega atau spektakular, namun sekurang-kurangnya, Konsert 2V ini boleh menjadi rujukan pada satu masa nanti.
Kedua-dua seniman berjiwa besar ini merentasi perjalanan seni yang sangat panjang selama menghiburkan peminat mereka.
Sekalipun sudah semakin low profile, namun Man Bai dan Rahim Maarof sebetulnya masih memiliki aspirasi dan cita-cita yang besar dalam gelanggang muzik.

Trivia ManBai

Man Bai yang popular dengan lagu Kau Ilhamku memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi solo pada 1995. Beliau merupakan vokalis utama kumpulan Gersang yang diasaskan sekitar tahun 1980-an. Man Bai juga pernah menerima trofi Artis Solo Terbaik pada majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) 1996. Selain aktif sebagai penyanyi, Man Bai juga merupakan seorang komposer, penulis lirik dan pelakon yang disegani.

Trivia Rahim Maarof

Dalam gelanggang muzik pop dan rock tanah air, nama Rahim Maarof tidak boleh tercicir sebagai antara pelopor genre berkenaan.

Sekitar tahun 1970-an, Rahim Maarof sudah memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo dan pernah menempa nama bukan sahaja dalam industri muzik Malaysia bahkan di negara jiran, Indonesia.
Cinta Kristal, Jangan Kau Rayu, Dir dan Sensitif merupakan antara lagu yang membariskan nama Rahim Maarof dalam senarai teratas penyanyi lelaki masyhur negara sehingga dia pernah mendapat jolokan ‘Malaysian Godfather of Rock’.

Tiket-tiket berharga RM205.00 boleh didapati di www.ilassotickets.com | Tel : 03 2170 6333