Bermula malam ini hingga 23 Disember, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir akan mengadakan Konsert Duo di Istana Budaya Kuala Lumpur.

Kini kedua-dua legenda itu sudah menunjukkan secara penuh apa yang bakal dipersembahkan kepada pembeli tiket konsert mereka.

Jamal masih bergaya.

Ternyata himpunan lagu-lagu malar segar masing-masing yang dipersembahkan mampu membawa kenangan manis selepas keluar dewan.

Jamal akui dia hadapi kesukaran memilih lagu kerana saban tahun dia melalui syarikat sendiri Binjamal Events dapat peluang persembahkan konsert. Dia berusaha menjadikan konsertnya berbeza dengan yang sudah sudah.

Dia bertuah kerana memiliki himpunan lagu popular yang banyak. Lagu lagunya mampu dinyanyikan bersama sama penonton.

“Inilah kali pertama saya mengadakan konsert bersama guru saya, M. Nasir. Bolehlah dikatakan ini konsert bersama di antara guru dan murid,” kata Jamal.

Pada akhir persembahan, kedua duanya tampil dengan konsep santai. Sambil menyanyi mereka turut mengimbau kisah manis bersama dalam perjalanan seni masing masing.

Segmen tersebut juga macam percubaan Jamal menyanyikan lagu komposer itu. Mereka memilih lagu malar segar M. Nasir seperti Kiambang, Malam Mentera Semerah Padi, Kepadamu Kekasih dan diakhiri lagu duet Ghazal Untuk Rabiah sebagai penutup.

Sementara itu persembahan pada 22 Disember ialah malam khas atau Malam VVIP dengan kemunculan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menggesek violin. Ia untuk mengisi tabung amal.

Dana daripada kutipan tiketnya untuk disalur kepada pihak yang kurang kemampuan seperti rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang tua.

Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Cinta Dan Tangis, Bicara Hati, Kerlingan, Kau Lupa Janji, Aku Penghibur, Gadis Melayu, Terharu, Cenderawasih, Senandung Kasih, Keroncong Untuk Ana, Hati Emas, Gerhana, Mustika, Perjuangan, Apokalips dan beberapa lagi.

Jamal juga mengundang penyanyi Australia yang fasih nyanyi lagu Melayu, Cassidy Anderson kerana tertarik dengan gayanya menyanyikan lagu-lagunya dalan laman sosial. Mereka berduet lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Cassidy juga berduet dengan M. Nasir menerusi lagu Dua Insan serta menyanyikan lagu Derita Cinta secara solo.

Jamal turut mengundang anaknya Osama Yamani menyanyikan medley lagu lagunya serta kolaborasi lagu Seniman Menangis dengan menampilkan Osama bermain gitar.

Tiket berharga RM1, 000 hingga RM158 boleh dibeli di laman www.ilassotickets.com atau hubungi talian 03-21706333.