Nama Maher Zain cukup pupular di negara Eropah, Asia dan sebahagian negara Arab sejak lima tahun lalu. Namun penyanyi yang berkerakyatan Sweden ini tidak dikenali di negaranya sendiri.

Penyanyi berdarah Lebanon ini selesa dengan suasana itu, malah menganggap ia sebagai satu kelebihan untuk dia rehat minda bila pulang ke rumah selepas penat dengan kerja di luar negara.

Hargai peminat Malaysia.
Hargai peminat Malaysia.

“Kalau ke luar negara ada kalanya saya dapat layanan macam VIP, ada orang sambut dan angkat beg saya… tapi bila saya balik ke Sweden, saya kena angkat sendiri beg saya. Tak ada yang hiraukan saya.

maher Zain idam road tour di Malaysia.
maher Zain idam road tour di Malaysia.

“Sebab itu bagi saya, saya masih Maher Zain yang sama, sama ada semasa on stage atau off stage,” kata Maher Zain kepada media Malaysia semasa ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, Maher Zain One di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Namun akhir-akhir ini baharulah ada yang menyedari akan dirinya. Malah ada yang membuat carian di Internet untuk mengetahui mengapa orang Sweden itu terkenal di luar negara.

Penyanyi yang masih kuat dengan lagu hit pertama Insya-Allah ini akui lagu tersebut sangat kuat. Album pertama juga mendapat jualan sangat tinggi.

“Kita tak bolehlah nak bandingkan jualan album sebagai ukuran kejayaan. Sebab semua tahu pasaran album fizikal tidak macam dulu. Kalau nak kira jualan, memang album kedua saya jatuh kategori gagallah,” kata Maher.

Maher ambil masa empat tahun untuk muncul dengan album ketiga kerana kesibukannya dengan tour di banyak negara.

“Saya memulakan projek album ini awal tahun lalu, kira setahun setengahlah,” katanya lagi.

Kali ini Maher mempertaruhkan lagu The Power (menampilkan Amakhono We Sintu dari Afrika Selatan), Medina dan I’m Alive (duet bersama Atif Islam, Pakistan).

Dia juga berduet dengan penyanyi popular Turki Mustafa Ceceli menerusi lagu The Way of Love serta bersama Issam Kamal dari Maghribi menerusi lagu Good Day.

“Saya harap duet bersama penyanyi popular antarabangsa ini akan dapat meluaskan pasaran album saya,” kata Maher.

Album One diedarkan oleh Inteam Records, syarikat sama yang memasarkan album pertamanya, Thank You Allah, lima tahun lalu. CD dijual dengan harga RM27.90.