Ada segelintir peminat yang memuat naik status di laman sosial mengkritik pelakon Remy Ishak yang dikatakan lari untuk mengelak diri daripada bergambar dengan peminat.

Kejadian tersebut berlaku di Studio ntv7 di Glanmerie, Isnin lalu  semasa Remy muncul untuk mempromosikan filem lakonannya Pulang bersama Puteri Aishah. Aishah juga terpalit isu sama dan kemudian muncul membuat penjelasan.

Zamri sempat bergambar dengan Remy Ishak.

Remy turut disindir sebagai pelakon yang berlari pecut  untuk mengelak daripada bergambar dengan peminat. Benarkah begitu?

“Kelly Azman + Amran Ismail acah-acah  nak ditularkan, hujung-hujung Remy Ishak yang menang larian pecut mengelak peminat bergambar!” tulis seorang pengguna Facebook.

Pelakon sambilan Zamri Harun atau nama Facebooknya Zamri Mac Arm mempertahankan Remy kerana dia berada di tempat kejadian dan menyaksikan apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya nafikan Remy cuba lari daripada peminat. Saya ada di tempat kejadian. Malah saya menegur Remy semasa dia melintas sekumpulan peminat yang sedang asyik berborak atau membawang sesama mereka. Remy sempat memberitahu dia bergegas untuk menjadi tetamu program Muzik Muzik pula selepas itu.

“Semasa Remy melintas, tiada seorang pun peminat yang mengajaknya bergambar, tetapi selepas mereka sedar Remy sudah beredar, baharulah kecoh sebab ada yang kesal lantaran tak sempat bergambar bersama pelakon itu.

“Kalau ada yang menahannya dan ajak bergambar dan dia mengendahkannya baharulah boleh dikatakan dia lari daripada peminat, tapi situasinya tiada orang yang menahan dan mengajaknya bergambar pada masa itu,” jelas Zamri.

Zamri juga seorang peminat Remy dan sempat memuat naik foto bersama dalam laman Facebooknya pada hari kejadian.

“Terkadang bila ada orang berkata buruk tentang dia aku sedih gak, tapi bagi aku selama ni dia tak pernah langsung kekwat dengan aku dan selagi ianya tak  terjadi pada aku… selagi itulah aku akan terus menyokong dia,” tulis Zamri.