Sebuah album memuatkan lagu-lagu raya malar segar, Nada Seni Gema Lebaran Legenda diterbitkan dan dinyanyikan semula dalam usaha menjadikan lagu-lagu tersebut sebagai khazanah tersimpan.

Apatah lagi apabila didapati lagu-lagu raya versi asal semakin hari semakin susut kualitinya setelah banyak kali disalin semula dalam penerbitan album-album kompilasi lagu-lagu malar segar itu.

Ramlah Ram dan Sanisah Huri turut terlibat.

Ajai selaku penerbit utama album dalam konsep dua cakerapadat berkembar yang kini sudah dipasarkan itu mengakuoi terpanggil untuk menerbitkan semula lagu-lagu raya malar segar demi menjadikannya khazanah.

“Bagi saya tak ada masalah daripada sudut keasliannya kerana kami tidak mengubah melodi asal, sebaliknya kami menjadikan lagu-lagu tersebut lebih besar. Lagu-lagu versi asal dirakam dengan teknologi lama yang semestinya aka kekurangan berbanding hari ini,” kata Ajai.

Album yang memuatkan 24 buah lagu edaran Universal Music itu menampilkan penyanyi terkenal Sanisah Huri, Ziana Zain, Datuk Yusni Hamid, Ramlah Ram, Salamiah Hassan dan Salwa Abdul Rahman.

Turut tampil angkatan baru Fazli Zainal, Hazama, Syamel, Haziq, Salma dan Hael Husaini.

“Pemilihan penyanyi dibuat berdasarkan kesesuaian dengan lagu yang mereka nyanyikan. Menyaikan lagu hari raya tak sama dengan lagu-lagu pop biasa kerana untuk menjadikannya kedengaran lebih sedap, penyanyi mestilah ada lenggok Melayu dalam nyanyiannya,” ujar Ajai lagi.

Sanisah Huri merakam semula lagu-lagu yang dirakamnya pada tahun 70-an iaitu Bersabarlah Sayang, Aidilfitri dan Joget Aidilfitri dalam album itu.

“Saya sudah lama tak rakam lagu. Pengalaman merakam semula lagu ini sangat seronok kerana cara rakaman yang berbeza. Sekarang menggunakan teknologi moden komputer. Cuma kalau bandingkan dengan nyanyian saya dahulu, pastilah suara saya lebih besar sekarang,” kata Sanisah.

Salamiah Hassan yang merakam semula lagu Bila Takbir Bergema (Rafeah Buang), Doa Di Hari Mulia (Uji Rashid) dan Hari Yang Mulia (Sharifah Aini) teruja dengan peluang yang diberikan kerana dia belum pernah rakam lagu bertema hari raya.

Ramlah Ram merakam semula lagu Ku Mohon Restu Ayah Bonda (Al Jawaher), Seloka Hari Raya (duet Shamel), Tibanya Syawal. Yusni pula dengan lagu Selamat Hari Raya (Fazidah Joned), Manusia Miskin Kaya (Nona Asiah) dan Suana Riang Di Hari Raya (Junainah M. Amin).

Ziana Zain merakam lagu Selamat Hari Raya (Saloma), Halaman Asmara (duet Hazama) dan lagu popular adiknya Anuar & Ellina Suasana Di Hari Raya bersama Hael Husaini. Fazli Zainal pula dengan lagu-lagu Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), Dari Jauh Ku Mohon Maaf (Sudirman).

Lagu-lagu laian pula Dendang Perantau (Haziq, Lambaian Aidilfitri (Hazama & Syamel), Balik Kampung (Salwa), Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) oleh Haziq, Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) oleh Salma, Cahaya Aidilfitri (Hazama & Syamel) dan Musafir Di Aidilfitri (Haziq).