Kumpulan popular KRU mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas berakhir Konsert Gergasi KRU25 yang mereka adakan pada 6 Mei ini di Istana Budaya. Nampaknya mereka bertahan selama 25 tahun.

Bukan bererti bersara daripada dunia seni sebaliknya mereka tidak akan muncul secara berkumpulan. KRU dianggotai tiga beradik iaitu Datuk  Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.

“Keputusan  ini adalah kata sepakat dan ketiga-tiga kami mempunyai perancangan  tersendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing.

“Kami mengumumkan bahawa konsert Gergasi KRU25 adalah penampilan terakhir daripada kami.  Selepas konsert yang berlangsung selama tiga hari ini ia dibubarkan secara rasmi,” kata Norman selaku abang sulung dan ketua kumpulan.

Single Tahan Lama yang akan berduet bersamaa Joe Flizzow merupakan single terakhir KRU yang popular dengan lagu-lagu, Awas, Mengerti dan banyak lagi.

Konsert berkenaan bakal diadakan selama tiga  malam di Panggung Sari, Istana Budaya pada 4  hingga 6 Mei depan.

Ia bukan keputusan mudah, sebab itulah Norman kelihatan menitiskan air mata semasa pengumuman itu serta turut mengucapkan terima  kasih kepada peminat yang telah memberi  sokongan kepada kumpulan tersebut sepanjang 25 tahun.

Bagaimanapun, KRU sebagai sebuah  syarikat media dan hiburan akan tetap  berterusan dan beroperasi seperti biasa dan mereka masih bersama-sama dalam syarikat yang dikongsi bersama serta keluarga itu.

Edry berkata, dia mahu memberi  tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan anak- anak. Edry juga aktif menerbit dan mencipta lagu untuk ramai artis.

“Sudah tiba masanya untuk kami berehat dan  menumpukan perhatian kepada keluarga pula. Saya juga ada anak-anak yang perlu perhatian,” ujarnya.