Penyanyi Krisdayanti (KD) sifatkan konsertnya, Konsert Romansa 2017 di Istana Budaya pada 24-26 Februari ini sebagai sangat bermakna kerana dia dikelilingi kesemua tenaga kerja Malaysia.

KD hanya perlu mempersiapkan diri sahaja bila mengadakan konsert sulung di IB nanti. Dia akui teruja dan rasa dimanjakan kerana tidak perlu banyak memerah tenaga untuk fikirkan semuanya.

Janji persembahan terbaik.
Janji persembahan terbaik.

“Sebelum ini saya terlibat dalam banyak perkara kalau nak adakan konsert. Kali ini saya rasa seperti dimanjakan untuk konsert ini, semuanya dipersiapkan buat saya.

“Setelah saya pilih lagu-lahu yang bakal dinyanyikan, pihak pemuzik membuat persiapan di sini dan baru-baru ini mereka ke Jakarta untuk membuat latihan dengan saya,” kata KD.

Tugas pengarah muzik konsert yang dibawakan oleh Neo Global Sdn. Bhd. dan Belbis Sdn. Bhd. itu digalas oleh Aubrey Suwito.

Akhirnya berjodoh dengan IB.
Akhirnya berjodoh dengan IB.

KD juga teruja kerana sepanjang kerjaya, inilah kali pertama  dia mengadakan persembahan tiga malam berturut-turut. Lantas dia berjanji memberikan persembahan terbaik.

“Saya janjikan persembahan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini, ia tersendiri, magis dan indah buat peminat saya di Malaysia. Salah satu segmen nanti ialah saya berubah jadi penyanyi rock.

“Semasa saya mula-mula berjinak dengan nyanyian dulu lagu rock dari Malaysia turut sampai ke Indonesia dan saya salah seorang yang terkesan dengannya, sebab itulah bila mengadakan konsert kali ini saya muatkannya,” kata KD lagi.

Dia juga memilih lagu-lagu popular Puan Sri Saloma dan Datuk Sudirman dalam segmen tribute. Konsert tersebut juga akan mengundang penyanyi popular Malaysia untuk bersama-sama dan pihak penerbit akan mengumumkannya nanti.kd-4

Pernah diundang IB

Sepuluh tahun lalu Istana Budaya pernah membuat tawaran kepada KD mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Namun hasrat tersebut tidak kesampaian kerana masalah yang tak dapat dielakkan.

Kalau perancangan tersebut menjadi kenyataan, KD  akan jadi artis Indonesia pertama yang mengadakan konsert di situ. Adakah KD ralat?

“Saya sebenarnya pun baru tahu bahawa IB pernah mengusulkan persembahan saya sepuluh tahun lalu. Saya anggap ia bukan rezeki saya pada masa itu. Itu semua sudah ketentuanNya.

“Akhirnya saya dapat peluang juga mengadakan persembahan di pentas berprestij IB ini. Saya tak jadikan ukuran sama ada  saya ini artis pertama atau artis ke berapa mengadakan persembahan di sini. Itukan soal rezeki,” katanya.

Kalau mahu menonton Konsert KD di Istana Budaya, boleh menempah tiket sekarang di www.myticket.asia. Tiket berharga daripada RM118 hingga RM588 sudah mula dijual dan mendapat sambutan menggalakkan.