Setiakawan sesama peserta Akademi Fantasia 2 masih berjalan selepas tamat program mereka 15 tahun lalu.

Ogos tahun ini mereka kembali bergabung menjayakan konsert reunion di sekitar Lembah Klang.

Bob yang mengepalainya dengan bantuan Zahid dan Adam berjaya mendapat persetujuan kesemua 12 peserta AF2.

“Tarikh tepat dan vanue kita tak boleh umumkan lagi, kerana ia bergantung kepada bakal penaja yang sedang dicari.

“Kalau besar tajaan yang kami terima, besarlah skill konsert ini dan kalau kecil tajaannya, kecillah skillnya.

“Saya pastikan konsert ini akan dilaksanakan. Saya sudah siapkan semua keperluan, malah pemuzik pun sudah dibincang, tunggu tajaan untuk membayar mereka,” kata Bob dalam sesi santai bersama media di Restoren Dapur Sarawak, Kuala Lumpur petang tadi.

Pada majlis itu, turut hadir Linda, Anding dan Fitri. Enam lagi bintang AF2 ialah Edlin, Mas, Kaer, Nurul, Farah dan Zarina.

Masing masing teruja untuk mengimbau nostalgia 15 tahun lalu serta memenuhi permintaan peminat.

“Kami penuh yakin jenama AF2 masih ada peminat. Semasa kami uarkan pasal konsert reunion di laman sosial, kami dapati banyak responds positif.

“Sebenarnya saya lontarkan idea reunion semasa ulangtahun ke sepuluh, tapi tak dapat responds baik dan ada rakan yang hilang pada masa itu. Semasa ulangtahun ke 12 saya cuba lagi, tapi tak kesampaian.

“Kami fikir tahun inilah yang terbaik dan semua dapat dihubungi dan menyatakan persetujuan.

“Saya sedar ada rakan kami yang dah tinggalkan dunia muzik, tapi saya janji akan menjadi guru vokal untuk mengasah kembali vokal mereka,” sambung Bob.

Mereka juga berharap ada penaja yang sudi bekerjasama menjayakan konsert tersebut. Kepada yang berminat boleh hubungi media sosial Bob atau mana mana bintang AF2 untuk berunding.