Setelah berjaya dengan beberapa siri konsert lagu irama Pop Yeh Yeh, Istana Budaya cuba pula membawakan muzik era 70-an.

Konsert Retro yang akan diadakan pada 1 dan 2 Februari depan membawa konsep pasangan duet popular era 70-an dan 80-an.

Uji Rashid

Ia dibarisi Uji Rashid, Hail Amir, Jay Jay dan Dayangku Intan. Turut ditampilkan penyanyi angkatan baru, Lan Solo dan Asmidar Ahmad.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohammad Juhari Saarani berkata, pihak Istana Budaya berharap konsert itu akan menyemarakkan lagi musik era tersebut.

Konsert Retro Bersama Orkestra Tradisional Malaysia itu mengenakan tiket berharga RM30 hingga RM100. Untuk menempah boleh ke www.ilassotickets.com.

Hail Amir

Hampir 30 buah lagu bakal dipersembahkan. Setiap artis akan menyanyikan lagu popular masing masing.

Lan dan Asmidar pula akan mempersembahkan lagu popular penyanyi lain pada era tersebut.

Semestinya lagu lagu seperti Semakin Hari Semakin Sayang, Kuingin Selalu Disampingmu, Antara Matamu dan Mataku, Wajah Kesayangan Hamba, Rindu Bayangan, Kita Insan Biasa, Berpaut Didahan Cinta, Semakin Rindu Semakin Sayang dan Peralihan Zaman akan mengimbau nostalgia zaman tersebut.

“Konsert Retro bertujuan mengembalikan nostalgia serta mengenang populariti kegemilangan penyanyi yang diundang.

“Pada masa yang sama, Istana Budaya ingin menarik perhatian penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda untuk mengenali dan menghargai perkembangan muzik era tersebut,” sambung Juhari.

Juhari juga tidak menolak kesinambungan Konsert Retro dengan barisan artis lain pula.