Konsert Nova 2017 yang menggabungkan artis popular dua negara, Malaysia dan Indonesia telah berjaya dilaksanakan di Stadium Melawati, Shah Alam, 5 Ogos lalu.

Agaknya kerana pertembungan dengan beberapa konsert lain termasuk Konsert Datuk Shiela Majid, sambutan konsert itu kurang memberangsangkan walaupun menampilkan penyanyi terhebat dua negara.

Judika memberi persembahan terbaik.

Namun lebih  2,000 penonton di stadium tetap menikmati persembahan yang hebat. Lompong tempat duduk tidak mencatatkan perjalanan konsert tersebut. Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Azlan Typewriter, Judika, Cakra Khan, Syahrini dan Mia Ismi tetap bersemangat. Itulah tugas mereka menghiburkan pembeli tiket konsert.

Syahrini tampil menawan.

Dalam konsert dibawakan oleh Suasana Enak Sdn. Bhd. itu, ternyata gabungan penyanyi Indonesia lebih menonjol di atas pentas. Mengapa? Pada hemat saya,  mereka sentiasa mahu menampilkan persembahan yang terbaik.

Apatah lagi apabila berganding pentas dengan beberapa penyanyi Malaysia. Penonton semestinya mendapat imbuhan lebih apabila ada usaha penyanyi yang mahu menonjolkan diri.

Judika dan Cakra Khan dilihat sangat menonjol dalam konsert tersebut. Semasa mempersembahkan lagu secara duet, mereka benar-benar memberikan lebih 100 peratus usaha.

Judika menyanyikan lagu popular Cakra Khan, Mencari Cinta Sejati dan Cakra menyanyikan lagu Aku Yang Tersakiti dengan gaya tersendiri. Malah memandangkan pengarah muzik Aubrey Suwito sudah menyusun lagu-lagu tersebut untuk penyanyi asal, Judika menyanyikan dengan nada Cakra yang lebih tinggi.

Lagu itu menjadi lebih segar dan indah di tangan Judika, demikian juga dengan lagu Judika yang persembahkan oleh Cakra. Berbeza sekali dengan persembahan duet lagu Kau Ilhamku yang dipersembahkan oleh Faizal Tahir dan Azlan.

Mereka nampak terlalu santai dan main-main sehingga tidak nampak apa yang istimewanya lagu tersebut yang menjadi pilihan mereka.

Dayang yang tampil dengan dua buah lagu gagal menonjol kerana lagu-lagu Lelaki Teragung dan Separuh Mati Kubercinta sering kali dipersembahankan dalam mana-mana persembahan pentas dan program televisyen. Dayang juga turut berduet sebuah lagu Inggeris dengan Judika.

Gandingan mantap Judika, Cakra Khan.
Gandingan kurang menjadi.

Pada konsert itu  Mia Ismi yang menyanyi sambi menggesek biola membawakan Fatwa Pujangga, Rather Be dan Kaulah Segalanya manakala  Faizal Tahir pilih lagu Assalamualaikum, Sampai Syurga, Mahakarya Cinta dan Sejati.

Syahrini mungkin tidak semesra Cakra dan Judika bagi peminat di Malaysia, namun dia mengambil kesempatan memperkenalkan diri melalui persembahan. Walaupun ada lagu yang dinyayikan secara mimik bibir, namun persembahannya tetap menarik.

Sesuai dengan nama Princess Syahrini yang digunakan menerusi akaun media sosial, Syahrini yang sempat popular menerusi lagu duet bersama Anang beberapa tahun lalu tampil dengan gaya seorang puteri lengkap memakai mahkota.

Duet Dayang dan Judika.

Apabila mengetahui Datuk Seri Vida ada di ruang penonton yang memasuki dewan semasa dia sedang di atas pentas, Syahrini kemudian mengajak Vida naik.

Kemunculan Vida menggamatkan suasana apatah lagi Syahrini yang memiliki program televisyen cekap guna kesempatan untuk tampilkan sisi komedinya selaku perantara.

Syahrini juga bijak berkomunikasi dengan gaya manjanya dan sempat mempromosikan diri yang belum lagi diterima di sini sebagaimana Judika dan Cakra.

Pengerusi Suasana Enak, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya berkata, dia tetap gembira walaupun kehadiran penonton tidak menepati sasaran, malah tidak menolak kemungkinan membawa konsert serupa ke Indonesia suatu hari nanti.

Malah artis juga menyambut baik usaha mengadakan konsert usaha sama macam itu. Konsert tersebut sebagai satu sambutan persahabatan Malaysia an Indonesia yang masuk usia 60 tahun.

“Saya menyokong konsert sebegini dan harap pada masa hadapan akan diteruskan lagi. Saya menyokong walaupun pada itu artis lain yang terlibat,” kata Syahrini.

 

Tetap sukses