Bertahun-tahun tidak aktif bersama, Zamani dengan haluan solo manakala ketuanya Shah mengembangkan karier sebagai pemuzik profesional, kumpulan  Slam dilihat macam dah tidak boleh bersatu. Namun mereka sebenarnya masih mewangi bersama.

Kali terakhir berpentas sebagai sebuah grup di Singapura dengan Konsert Slam Kembali Merindu Live In Singapura yang mendapat sambutan luar biasa sekitar empat tahun lalu. Tahun ini, Slam mahu meraikan semula detik gemilang yang pernah dicipta mereka pada zaman kemuncak dahulu.

Zamani mahu puaskan peminat.
Zamani mahu puaskan peminat.

Penganjuran Konsert Kurnia Slam di Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur pada 14 Mei depan merupakan kemunculan  pertama Slam selepas lebih 10 tahun tidak muncul  dengan sebuah konsert berskala besar di Kuala Lumpur.

Simboliknya juga, Konsert Kurnia Slam merupakan sebuah riwayat survival karier muzik Slam yang penuh bermakna. Segala pencapaian, kemasyhuran serta jatuh bangun mereka itu adalah anugerah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai harganya.

Nostalgia, momen dan segala rasa, suka duka itulah yang mahu dibangkitkan semula dan dikongsikan dengan peminat. Itulah kurniaan sebenar. Konsert Kurnia Slam juga akan mengembalikan semula ingatan peminat tegar Slam sebagaimana yang dirasai dalam Konsert Grand Slam Unplugged di Stadium Negara pada 3 Ogos 1996.SCH_3555

Dibawakan oleh Urban Creative Synergy (UCS) Sdn. Bhd yang sebelum ini terlibat dengan penganjuran konsert artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Avenged Sevenfold, UB40, Judika dan Konsert Search di Istana Budaya.

Konsert Search itu juga menjadi percubaan pertama UCS dalam penganjuran konsert artis tempatan, manakala Slam kelak menjadi konsert artis tempatan kedua terbesar yang akan dijayakan UCS.

Pengarah Persembahan Konsert Kurnia Slam, Shamil Yusof meluahkan harapan agar penganjuran konsert berkenaan mendapat sokongan padu daripada khalayak kerana ia sebuah dedikasi Slam buat seluruh peminat yang tidak pernah melupakan mereka selama ini.

Selaku ketua kumpulan, Shah pula menyifatkan konsert yang bakal dijayakan nanti sebagai penanda aras terhadap kematangan dan pengalaman setiap anggota Slam dalam bidang muzik.

“Kami semua sudah matang dan setiap anggota Slam sudah melalui fasa yang berbeza. Konsert Kurnia Slam nanti bukan hanya akan dinikmati oleh peminat lagu-lagu Slam bahkan peminat muzik masa kini. Biarpun Slam dikenali sebagai kumpulan muzik pop, tetapi saya berjanji bahawa Slam akan mencurahkan segala pengalaman dan skil yang telah dikutip sepanjang bergelar pemuzik selama ini.

“Selain ada susunan semula terhadap muzik, kami akan tetap mempertahankan keaslian bunyi Slam sebagaimana yang diketahui semua,” jelas Shah.

Tiket Konsert Kurnia Slam dibahagikan kepada beberapa kategori harga iaitu RM88 (Normal), RM158 (Silver) RM 198 (Gold) dan RM399 (VVIP). Pembeli tiket berharga RM399 akan berpeluang untuk beramah-mesra dengan anggota Slam. Tiket-tiket boleh dibeli secara online menerusi www.ticketpro.com.my, outlet TicketPro atau panggilan telefon ke talian 03-78807999.

SCH_3712SCH_3761SCH_3628