Dua tahun lalu Rahimah Rahim berjaya dengan Konsert Rahimah Rahim My Life My Art di Singapura.

Pengarah muzik Datuk Mokhzani Ismail dan isteri, antara yang menonton dan tertarik dengan konsepnya.

Sebab itu apabila isterinya YM Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman yang juga YDP Persatuan Pandu Puteri Perlis mahu adakan konsert amal, mereka mahu bawa konsert itu ke Malaysia.

Setelah beberapa kali tertangguh kerana kesibukan Rahimah, akhirnya ia akan dijayakan pada 13 April ini di Auditorium DBKL.

Mokhzani sendiri yang akan mengepalai orkestra pengiring konsert yang mahu mengutip dana Pandu Puteri itu.

“Saya mahu mengisi tabung Pandu Puteri Perlis bagi membolehkan kanak kanak di Perlis mengikuti aktiviti di peringkat pusat.

“Ibu bapa di Perlis ini tidak berkemampuan sebagaimana ibu bapa di Kuala Lumpur, itulah sebabnya kami perlukan wang bagi menampung aktiviti mereka,” kata Tengku Shireen dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Rahimah Rahim sendiri akui teruja untuk bekerjasama di bawah orkestra pimpinan Mokhzani. Turut memeriahkan konsert, Khai Bahar dan adik Rahimah, Rozie Rahim.

Konsert tersebut bersifat perjalanan seni Rahimah yang bermula sebagai artis kanak kanak pada tahun 70-an, penyanyi kelab pada era 70-an sebelum menjadi artis rakaman seterusnya mencipta nama di Malaysia.

“Saya bercerita pasal perjalanan hidup suka duka saya melalui lagu-lagu saya,” kata Rahimah.

Tiket tiket dijual pada harga FM350, RM250 dan RM150. Untuk pertanyaan boleh hubungi talian Ruby 019 2409 727 atau 017 6804 495 (Zaty).

Mokhzani berharap konsert itu akan mendapat sambutan. Dia bimbang kerana melihat orang Malaysia yang gemar menonton konsert percuma.

Sementara itu Rahimah Rahim sendiri turut beramal dengan tidak mengenakan bayaran bagi jayakan konsert tersebut.

Ikuti bicara Rahimah dalam rakaman di bawah: