PEMINAT Akim & The Majistret di Singapura pasti teruja apabila band popular ini bakal mengadakan konsert pertama mereka di negara itu. Konsert anjuran Adi Media Pte Ltd itu akan diadakan di Esplanade pada 26 Januari 2018. 

Pengasas Adi Media, Nur Dian Mohamad Rashid berkata, konsert berkenaan adalah hadiah kepada peminat Akim & The Majistret terutama dari Singapura yang tidak dapat hadir ke konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Februari lalu.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong mereka,” katanya.

Konsert yang akan bermula jam 8.00 malam itu adalah konsert berskala besar pertama buat band yang popular dengan lagu Mewangi, Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila itu.

Nur Dian berkata, Akim & The Majistret menjadi pilihan mereka kerana yakin dengan kemampuan kumpulan itu menarik peminat.

“Ramadan lalu, mereka mengadakan persembahan di Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran kami. Walaupun hanya membawa dua lagu secara akustik, tetapi peminat yang hadir cukup ramai. Saya yakin peminat Akim & The Majistret di Singapura ternanti-nantikan kehadiran mereka,” katanya.

Menurut Nur Dian, selain peminat di negara itu, mereka turut mengharapkan peminat Akim & The Majistret di Malaysia turut hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Akim & The Majistret yang pernah menang Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-30 tahun lalu bakal membawa 18 lagu dalam konsert itu.

“Saya yakin peminat akan ‘enjoy’ dengan konsert mereka nanti,” katanya.

Nur Dian berkata, tiket sudah mula dijual sejak 16 November lalu dan sambutannya amat menggalakkan.

Tiket-tiket berharga SGD148 (Kategori 1), SGD108 (Kategori 2), SGD88 (Kategori 3), SGD66 (Kategori 4), SGD48 (Kategori 5 – restricted view), SGD88 (Kategori 6 -restricted view) dan SGD68 boleh dibeli secara online di www.apactix.com.

Bagi pembeli tiket Kategori 1, mereka berpeluang menghadiri sesi ‘meet & greet’ bersama Akim & The Majistret.  Sementara itu, Akim & The Majistret cukup teruja apabila diberi peluang mengadakan konsert pertama mereka di Singapura.

“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Kami yakin peminat di Singapura tidak akan kecewa,” katanya.