Empat sekawan Tomok, Black Hanifah, Hazama dan Akim akan mengadakan konsert bersama di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 April ini.
Konsert yang dinamakan Konsert 4 G’s itu dipersembahkan oleh Belbis Sdn. Bhd. Konsert itu bertema Gabungan Melodi Terindah.
Pengarah Muziknya Aubrey Suwito berkata, konsep persembahan nanti berlainan dengan konsert biasa kerana keempat empat mereka muncul bersatu.
“Ia bukan konsert solo mereka dengan saling berganti membuat persembahan sebaliknya ia konsert gabungan,” katanya.
Bukan hanya menyanyikan lagu sendiri sebaliknya mereka memilih lagu lagu dari pelbagai era.
“Ada lagu 70-an, asli, dangdut,” kata Tomok yang mengaku teruja kerana itulah kali pertama dia mengadakan persembahan di Istana Budaya.
Sementara itu Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani menyifatkan keempat empat penyanyi itu sebagai aset masa depan Malaysia.
” Untung kepada sesiapa yang membeli tiket kerana satu tiket dapat tonton empat penyanyi sekali gus,” katanya.
Mereka juga teruja kerana kalaupun tidak mengadakan konsert bersama, mereka adalah sahabat baik, geng.
“Huruf G yang digunakan ialah singkatan perkataan geng, boleh juga jadi gentlemen,” kata Black.
Tiket berharga dari RM98 hingga RM518 sudah mula dijual. Tempahan boleh dibuat di airasiaredtix.com atau hubungi 018-248 8184.
Ada juga tempat duduk istimewa dengan harga RM988. Hanya 16 tempat duduk disediakan setiap malam persembahan.
” Pembeli akan dapat layanan istimewa termasuk meet and greet serta mengenali kami secara dekat,” kata Tomok.
Ditanya sama ada penganjuran konsert itu berbaloi dalam keadaan pasaran masa kini yang tak menentu, Aubrey berkata ia kena diteruskan demi perjuangan anak seni.
“Kita orang seni ini kena teruskan membuat konsert. Ia satu keperluan untuk negara, sebab itu saya sanjung usaha menganjurkan konsert ini,” kata Aubrey lagi.