Bila Datuk Jamal Abdillah melalui syarikatnya Bin Jamal Event mengumumkan pasal Konsert 3 Suara menggandingkan dia bersama-sama Ameng Spring dan Zamani Slam, pasti ada yang terlintas pasal konsert bekas pesalah pengguna dadah.

Memang itulah antara faktor pemilihan dua rakan bersama adiknya Jamilul Hayat sebagai penyanyi undangan dalam konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 22 hingga 25 September nanti.

Konsert turut menyumbang kepada kebajikan.
Konsert turut menyumbang kepada kebajikan.

“Konsert ini sebagai tanda orang seperti kami ini (bekas penagih dadah) masih boleh diterima dan masih boleh menggunakan bakat yang ada untuk tujuan yang baik.

“Sebahagian daripada jualan tiket konsert ini nanti akan disalurkan kepada Rumah Pengasih. Saya pernah tinggal di sana dan inilah masanya kami menyalurkan bantuan.

“Sebenarnya sebelum ini pun saya pernah menyalurkan sumbangan melalui konsert terdahulu,” kata Datuk Jamal Abdillah.

Konsert tersebut menjadi siri keenam konsert Jamal Abdillah di Istana Budaya. Setiap kali mengadakan persembahan dia akan menampilkan kelainan.

Jamal janji kelainan dalam konsert terbaru di Istana Budaya.
Jamal janji kelainan dalam konsert terbaru di Istana Budaya.

Jamal yang bertindak selaku penerbit turut memilih lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh Ameng dan Zamani.

“Kami menjanjikan kelainan dan berusaha memuaskan hati semua penonton,” katanya.