Penggiat seni dipelawa berhimpun bagi membincangkan isu berkaitan seni dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru memerintah.

Majlis akan diadakan di Auditorium Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang 15 Mei ini.

Zaienal Abidin Omar

Majlis Himpunan Warga Seni PH (Pakatan Harapan) dianjurkan bertujuan membincangkan pembentukan industri seni dan hiburan yang lebih terarah ke halatuju matlamatnya demi kepentingan kesemua warga seni negara ini.

“Ia melibatkan kesemua bidang termasuk filem, muzik, multimedia, pengiklanan, penganjur acara, fesyen dan lain-lain.

“Grand Design Industri Seni dan Hiburan akan dirangka hasil dari perbincangan, cadangan dan pandangan dari semua warga seni dan akan diajukan kepada pihak kerajaan untuk mendapat persetujuan dan pelaksanaan segera,” kata pelopornya Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Zaienal Abidin bukanlah nama baru bagi penggiat seni kerana beliaulah antara pelopor awal penubuhan Persatuan Karyawan Malaysia.

“Saya menjemput semua anak seni hadir pada majlis ini. Ia sebagai memenuhi janji saya untuk membuat sesuatu kepada mereka sebagaimana dalam kempen PH saya semasa pilihanraya lalu,” katanya.