Nitizen hari ini mempertikaikan tindakan penerbit filem David Teo membandingkan artis naungannya dengan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee.

Apatah lagi dia menjadikan P.Ramlee sebagai contoh tidak baik yang harus dijauhi dengan mengatakan seniman itu miskin di hujung usia dan pewarisnya pun hidup susah.

Wartawan senior, seniman dan pengikut laman sosial turut melontarkan pendapat yang menganggap kenyataan David tersebut sebagai biadap dan tidak sensitif.

Ada yang membandingkan filem arahan P.Ramlee yang masih ditonton tanpa jemu walaupun sudah berpuluh tahun dengan filem terbitan David yang diklasifikasikan sebagai filem sampah.

“Aku sanggup tonton filem P.Ramlee berkali kali, tapi kalau bagi filem David Teo, aku tak mahu,” kata salah seorang pengguna facebook.

David Teo digesa mohon maaf kerana celupar.
David Teo digesa mohon maaf kerana celupar.

“P.Ramlee tidak melarat dihujung usianya, David sepatutnya teliti fakta dahulu sebelum buat kenyataan,” kata seorang wartawan hiburan senior, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Seorang lagi wartawan hiburan senior, Rosli Manah dalam facebook peribadinya menganggap perbandingan tersebut sebagai tidak adil.

Filem lakonan dan arahan P.Ramlee masih ditonton sehingga kini.
Filem lakonan dan arahan P.Ramlee masih ditonton sehingga kini.

“David sepatutnya buat kajian dahulu sebelum buat kenyataan. P.Ramlee meninggalkan harta berupa royalti kepada warisnya.

“Ya… mungkin beliau tidak jadi jutawan. Tapi belum tentu beliau tidak bahagia. Beliau seniman sejati yang memperhambakan dirinya dengan seni,” kata Rosli.

Sementara itu, persatuan Seniman Malaysia berasa kesal dengan sikap David yang membandingkan Seniman Agung  dengan artis-artis yang bernaung di bawah syarikatnya.

“Anggapan bahawa Seniman Agung itu miskin dan tidak gembira dalam projek MMO baru baru ini sangat tidak wajar.

“Kita bersetuju jika dikatakan pengakhiran hidup P.Ramlee sebagai miskin harta namun Seniman Agung tersebut kaya dengan ilham dan kaya dengan nilai-nilai seni yang sebenar dalam dirinya dan disebabkan itulah hasil karya beliau diingat sehingga kini dan tidak lapok ditelan zaman,” kata Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan Seniman bertanggungjawab mempertahankan Seniman Agung P.Ramlee kerana gelaran Seniman Agung itu dicadangkan oleh Persatuan Seniman untuk diiktiraf oleh kerajaan bagi mengangkat P.Ramlee sebagai ikon seni Negara.

“Kenyataan David Teo juga mengguris hati dan perasaan kaum kerabat P.Ramlee yang masih ada sehingga kini, walaupun penerbit tersebut mahu artis naugan beliau menjadi jutawan tetapi Seniman Agung P.Ramlee pernah berkata ‘walaupun beliau sudah tiada di dunia ini lagi namun beliau akan hidup seribu tahun lagi’ maksudnya beliau kaya dengan mesej karya-karya beliau yang segar tidak ditelan zaman sehingga kini.

“Seniman Malaysia menggesa David Teo untuk menarik balik kenyataan beliau bagi menghormati perasaan ahli keluarga P.Ramlee serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Seniman juga berharap agar beliau tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas serta membanding-bandingkan antara satu sama lain,” katanya itu lagi.