Kumpulan rock XPDC akan berkelana ke beberapa negara Eropah Oktober ini untuk misi dakwah selama lebih sebulan dalam program Kembara XPDC Di Bumi Eropah.

Mereka akan mendekati masyarakat Islam serta orang Malaysia yang ada di negara yang dijejaki untuk mengetahui situasi sebenar kehidupan mereka dalam menjalani ibadah di negara yang majoritinya bukan umat Islam.

Mereka akan ke United Kingdom, Jerman, Perancis, Sepanyol dan beberapa negara lain yang akan ditentukan nanti. Kini pihak penganjur sedang mendapat maklumat daripada rakan strategik di negara-negara terbabit.

XPDC yang dianggotai Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bes) dan Lola (dram) sudah dikenalpasti ke London, Manchester, Liverpool, Dublin, Paris dan Amsterdam dan kembara itu akan turut dirakam dan disiarkan di sebuah saluran televisyen yang akan diumumkan kelak.

Ketua projek tersebut, Mubarak Hatta berkata, tujuan utama mereka ke Eropah adalah untuk mendekati masyarakat Islam terutamanya warga Malaysia yang menetap di sana. Pengalamannya dalam projek kembara serupa bersama artis lain sebelum ini memudahkan urusan.

“Kita mahu melihat cara hidup mereka di sana, bagaimana mereka beribadah, mendapatkan makanan halal dan sebagainya. Kita tahu ada yang menghadapi masalah kerana sentimen berkaitan umat Islam,” kata Ali.  

 XPDC juga akan menghiburkan peminat mereka, khususnya masyarakat di negara-negara yang dilawati menerusi acara persembahan. Mereka juga akan menyelitkan unsur dakwah di dalam persembahan nanti.

Untuk menguatkan dakwah, guru mereka, Maulana Wan Hilmy Wan Mohamed juga akan bersama-sama dalam kembara tersebut. Turut bersama-sama nanti pelakon Shamsul Ghau Ghau sebagai moderator. Kembara itu ditaja oleh Pharmasa Nutrition Sdn. Bhd., pengeluar minuman kesihatan jus Hearty.

Kembara tersebut hanya memakan kos RM300,000 sahaja kerana ia lebih kepada konsep kembara backpakers. Ada masanya mereka akan tidur di masjid apabila mengikuti aktiviti masyarakat di sana di dalam masjid.

“Untuk merasai bagaimana mereka menjalani rutin harian, kami kenalah bersama-sama mereka,” kata Maulana Hatta lagi.