Banyak juga komen negatif netizen terhadap kerja filem pengarah Ahmad Idham. Dia juga melayan dan buat provokasi terhadap komen-komen tersebut.

Idham akui dia sebenarnya melayan komuniti sosial media itu kerana mahu mendapat input daripadanya.

“Sebenarnya saya ini sedang buat kajian dan daripada komen-komen itu saya mendapat banyak ilham untuk bahan kerja seni saya.

“Saya layan sahaja dan membuat provokasi untuk tahu cerita apakah yang mereka mahu.

“Ada yang komen kenapa saya buat cerita macam ni, dan saya tanya mereka cerita macam mana yang mereka mahu. Bila mereka kata hasil kerja saya tak baik, saya minta mereka beritahu hasil yang macam mana yang baik bagi merek,” kata Idham.

Idham ditemui pada sesi calon bersama media sempena sidang media yang kedua Festival Filem Malaysia Ke 29 (FFM29) di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur hari ini.

Menyentuh pasal FFM29 kata Idham, dia menyokongnya kerana ia dinilai berdasarkan mutu sesebuah filem walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi.

“Saya dah lama dengan FFM dan tahu dah perjalanannya. Ia bergantung kepada kecenderungan juri pada sesuatu masa. Kalau juri ada kecenderungan pada isu tertentu dan kebetulan kita hasilkan filem yang menepatinya, maka filem kita akan terpilih,” kata Idham.