Lagu Doa Buat Kekasih nyanyian Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khatijah Ibrahim sudah berusia 30 tahun. Lagu tersebut masih segar dan terus relevan didengar olah sesiapa sahaja termasuk generasi baharu.

Keistimewaan lagu tersebut sebelum ia dirakam sudah dirasai oleh Ramli yang menciptanya. Malah idea mengadakan konsert yang dinamakan Doa Buat Kekasih juga bukanlah secara ad hoc, malah sudah bertahun-tahun disebut.

“Akhirnya tahun ini ia direalisasikan pada ulangtahun ke-30 tahun. Boleh sahaja kita adakan semasa jubilee perak pada tahun ke-25, tapi saya rasa ia lebih istimewa bila diraikan pada usia 30 tahun,” kata Ramli.

Menyentuh pasal lagu tersebut, kata Ramli dia dapat ilham semasa berada di studio  menantikan kumpulan Lefthanded menjalani rakaman.

“Saya petik gitar dan ilhamnya datang. Saya dah ada judulnya Doa Buat Kekasih, tapi pada masa itu tanpa lirik. Bila saya lagukannya orang sekeliling yang mendengarnya pun menyukainya. Malah ada yang meminta untuk dirakam.

“Saya ada juga mencuba penyanyi lain. namun saya hanya berpuas hati bila ia diberikan kepada Khatijah,” kata Ramli yang mengakui lagu tersebut juga banyak kenangan dan cerita di sebaliknya.

Baginya lagi itu sangat mendamaikan dan boleh menghilangkan stres bila didengar kerana ia bersifat sebuah lagu yang positif.

“Kadang-kadang bila mengadakan persembahan, saya dapat rasakan ketegangannya. Bukan saja sahaja, tetapi pemuzik juga. Bila saya sedarinya, saya mengalihkan mood dengan memberikan isyarat menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih. Bila ia dipersembahkan stes kami boleh hilang,” ujarnya.

Khatijah  juga akui teruja bila hasratnya untuk mengadakan konsert Doa Buat Kekasih akhirnya terlaksana.

“Saya janji konsert ini akan menjadi sebuah konsert yang sangat baik,” kata Khatijah.

Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 ialah sebuah konsert jelajah di seluruh negara termasuk Singapura pada September dan Oktober ini.

Hanya konsert di Esplanade, Singapura (17 Oktober) dan Istana Budaya, Kuala Lumpur (6 Oktober) merupakan konsert berkala besar, selebihnya berupa konsert makan malam amal.

Antara lokasi terpilih ialah Persada Johor Convention Centre pada 7 September yang merupakan konsert pembukaan. Ia dijalankan dengan kerjasama Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation. Konsert di Singapura pula dengan kerjasama AIN Society (Social Services Organization for Cancer Patient).

Lokasi lain termasuk Kuantan, Kuala Terengganu, Melaka, Kuching, Kota Kinabalu dan Alor Star.

Tiket konsert di Istana Budaya berharga RM400, RM350, RM250, RM200, RM150 dan RM100 sudah mula dijual. Tempahan boleh dibuat di www.ilassotickets.com. Untuk pertanyaan pasal tiket boleh hubungi 03-3170 6333.

Sebagaimana siri konsert terdahulu, Ramli mengekalkan pemuzik profesional daripada kumpulan Soul Journey yang sentiasa mengiringinya terdiri daripada Aji Samin (gitar utama), Rizal Halim (gitar kedua), Din Safari (bes), Rozario Rasul (keyboards), Tom Anuar (dram) dan Paang Zaman (gendang). Turut diundang Mohardiman Ismail (Flute) dan Ude Wahid (akordian/violin).

 

 

 

.